21 SEPT: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah kecewa dengan UMNO baharu yang dikuasai golongan politik baharu yang tamak haloba dengan menyalahgunakannya untuk memperkaya diri.
Beliau berkata, kumpula itu bersifat seolah-olah seperti perusahaan komersial, prinsip akhlak hancur berkecai termasuk kelakuan mereka yang cuba meraih jawatan awam dan kuasa politik.
“Kehancuran ini amat terasa di bidang dasar ekonomi berkaitan dengan penswastaan “harta awam”, iaitu aset nasional untuk faedah rakyat jelata.
“Saya membuat imbasan kepada dasar ekonomi dan faktor kewangan yang menyebabkan kemerosotan UMNO 88 oleh kerana kemerosotan tersebut hanya dapat difahami sekiranya kita arif tentang dasar ekonomi dan faktor kewangan yang saya sebutkan tadi.
“Amat menyedihkan apabila amalan politik kita berbaur menjadi rasuah politik di mana kuasa politik ditukar ganti dengan sokongan untuk mendapat kedudukan dalam parti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Veteran UMNO itu turut membangkitkan isu rasuah politik yang masih tidak dianggap sebagai perbuatan haram dan membahayakan demokrasi berperlembagaan seperti di negara-negara lain.
Beliau menggesa perbuatan rasuah dihapuskan sekiranya benar-benar hendak mempertahankan sumpah berperlembagaan untuk “menyimpan, menjaga keselamatan dan mempertahan” perlembagaan.
“Para pemimpin parti politik, kehakiman, Kabinet kerajaan dan Ahli Parlimen harus ingat bahawa mereka berkewajipan terhadap negara dan rakyat.
“Sekiranya mereka tidak menegakkan Kedaulatan Undang-Undang dan Perlembagaan, itu bermakna mereka melakukan pengkhianatan.
“Keadaan semasa Dewan Rakyat dan penderitaan rakyat kini adalah akibat penyalahgunaan politik dan kuasa. Kita haruslah menukar cara kita berpolitik untuk menyelamatkan rakyat dan negara,” tegasnya.
Tengku Razaleigh turut bimbang tentang perpaduan nasional, perhubungan kaum, toleransi keagamaan, visi bersama ekonomi nasional, keyakinan terhadap sistem institusi, kestabilan sistem politik dan parti politik untuk menyokong demokrasi berperlembagaan.
Menurutnya, visi perkauman dan agama merupakan suatu khayalan berbahaya sekiranya ia ditonjol ke hadapan.
“Barang diingat bahawa politik bertanggungjawab adalah prasyarat dalam menegakkan pemerintahan dan demokrasi berperlembagaan.
“Sekiranya terdapat krisis dalam politik ia bermakna pemerintahan juga mengalami krisis,” katanya.
Pokoknya sistem politik berparti kita memerlukan transformasi dengan segera, tetapi kita kesuntukan masa.