22 SEPT: Kerajaan membelanjakan RM314.05 juta bagi melaksanakan program pemberian vaksinasi mengikut Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara sehingga 30 Ogos lalu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata sebanyak 83.2 peratus daripada peruntukan berkenaan digunakan membayar sewaan, utiliti perkakasan; peralatan pakai habis; pembersihan dan sanitasi; serta perkhidmatan makan minum petugas.
Dr Adham berkata baki 9.7 peratus daripada peruntukan berkenaan digunakan untuk membayar token bulanan sukarelawan dan keselamatan.
Beliau berkata 6.0 peratus daripada peruntukan berkenaan digunakan untuk kos integrasi data dan sistem, manakala
selebihnya sekitar 1.1% telah diperuntukkan bagi bayaran perkhidmatan jangkau luar komuniti dan perkhidmatan lain.
“Perbelanjaan ini dikendalikan oleh CITF Persekutuan dan penyaluran kepada negeri-negeri dan Jabatan dan Agensi seperti Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Parlimen, sebentar tadi.
Dr Adham berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BERSATU-Libaran, Datuk Zakaria Mohd. Edris @ Tubau yang meminta menteri berkenaan menyatakan jumlah perbelanjaan yang telah dibelanjakan untuk program vaksinasi di seluruh negara mengikut PPV.