21 SEPT : Pihak berkuasa agama jangan ragu-ragu untuk membenarkan lebih ramai jemaah menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat di masjid dan surau di seluruh negara.
Saranan berkenaan disuarakan oleh Ahli Parlimen BERSATU-Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, yang turut mendakwa ada di kalangan umat Islam di Malaysia hampir terlupa wujudnya hari Jumaat.
Tindakan itu menurut beliau perlu kerana ramai rakyat di luar sana melahirkan rasa sedih dan sayu kerana sudah hampir dua tahun tidak menunaikan solat lima waktu dan solat Jumaat di surau dan masjid, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19.
“Justeru, saya berharap kuota solat berjemaah dan solat Jumaat perlu ditambah mengikut kapasiti masjid dan surau.
“Jika masjid dan surau tidak dapat menampung bilangan jemaah yang ramai maka pihak berkuasa agama wajar membenarkan solat Jumaat dibenarkan secara bergilir-gilir dua atau tiga kali.
“Pihak berkuasa agama juga wajar membenarkan kepada komuniti untuk menunaikan solat Jumaat di ruang terbuka di kawasan tanah lapang dan terbuka.
“Kita tidak sepatutnya takut untuk membuka surau dan masjid bagi membolehkan orang ramai beribadah kerana kononnya bimbang timbul fitnah kepada agama kerana masjid dan surau mempunyai prosedur standard operasi (SOP) yang ketat ,” katanya ketika berucap menyokong titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.
Justeru, Syed Abu Hussin mengajak semua pihak untuk bersama-sama memperbaiki hubungan dengan Allah SWT dan mewujudkan ‘global taubah’ dan mengembalikan semula fungsi masjid dan surau di seluruh negara.
Ini kerana, Syed Abu Hussin berkata Nabi Muhammad sendiri mengajar umat Islam supaya sentiasa menghidupkan masjid dan surau apabila berlaku sebarang ancaman wabak.
Sementara itu, Ahli Parlimen PAS-Setiu, Shaharizukirnain Abd. Kadir, mendedahkan ramai penduduk luar bandar dan kampung mengeluh kerana tidak boleh memasuki pasaraya dan pejabat agensi kerajaan kerana tidak mempunyai aplikasi MySejahtera.
Shaharizukirnain berkata, penduduk kampung dan luar bandar berkenaan dihalang daripada memasuki premis berkenaan biarpun sudah menunjukkan kad vaksin sebagai bukti mereka sudah lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19.
“Saya ingin membangkit isu di mana ramai penduduk luar bandar dan kampung terutama warga emas gagal memasuki pasaraya dan pejabat kerajaan kerana tidak mempunyai aplikasi MySejahtera biarpun sudah lengkap divaksinasi.
“Oleh itu mereka tidak dapat mengakses untuk memasuki premis berkenaan walaupun sudah menunjukkan kad vaksinasi yang lengkap dua dos,” katanya ketika berucap di sesi perbahasan titah diraja Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini