21 SEPT: Malaysia ketinggalan dalam menikmati faedah dan layanan keutamaan jika terlewat meratifikasi Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Malaysia memberi komitmen untuk melengkapkan proses ratifikasi pada bulan Disember ini.
Mohamed Azmin berkata Malaysia juga dijangka meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dalam masa terdekat.
“Mengenai RCEP, proses ratifikasi di Malaysia memerlukan pindaan ke atas tiga akta melalui bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
“Dalam hal ini, kementerian dimaklumkan oleh KPDNHEP bahawa draf pindaan akta itu sedang diperhalusi Jabatan Peguam Negara dan akan dibentang untuk perbahasan di Parlimen pada Disember tahun ini,” katanya dalam jawapan di sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen GPS-Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing yang mahu kerajaan menyatakan status terkini RCEP dan rancangan bagi meningkatkan kerjasama antara negara menerusi perjanjian itu.
Mengulas lanjut, Mohamed Azmin berkata, Malaysia akan ketinggalan dalam menikmati faedah dan layanan keutamaan dalam RCEP sekiranya lewat meratifikasi perjanjian terbabit.
Katanya, ia termasuk pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang meningkatkan aktiviti pelaburan di kalangan negara anggota RCEP.
Antara manfaat yang dapat dinikmati sekiranya Malaysia meratifikasi perjanjian ini adalah pengurangan tarif ke atas barangan eksport, akses pasaran perdagangan perkhidmatan, pergerakan pekerja profesional dan berkemahiran tinggi serta peluang meningkatkan aktiviti pelaburan di kalangan negara-negara anggota RCEP.
“Antara kerjasama lain yang dirancang ketika ini termasuklah peningkatan kapasiti bagi pelaksanaan penurunan atau penghapusan kadar tarif import, pengurangan halangan-halangan berbentuk bukan tarif seperti melalui penerimaan pakai standard dan piawaian industri setiap negara.
“Selain daripada pengurangan tarif ke atas barangan eksport, negara anggota RCEP juga komited untuk mengurangkan halangan-halangan bukan tarif atau dengan izin, non-tariff measures (NTMs) melalui penyelarasan tatacara import dan eksport bagi memudah cara pergerakan barangan rentas sempadan, termasuklah menyesuai serta menerima pakai standard atau piawaian industri setiap negara-negara anggota,” katanya.