21 SEPT: Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet hari ini bersetuju dengan cadangan supaya pemilik premis stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi secara seragam di semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan waktu beroperasi mulai 6 pagi hingga 12 malam.
Namun, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memaklumkan kebenaran itu bagaimanapun dikecualikan bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
“Ini akan diangkat ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik esok untuk disyorkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum diputuskan tarikh berkuat kuasa.
“Penting untuk saya menjelaskan fokus Menteri-Menteri Kuartet adalah untuk membuka sektor-sektor yang terlibat secara berperingkat dan selamat.
“Fokus kita untuk membukanya secara selamat (#ReopeningSafely). Menuju ke fasa endemik tersebut, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Sehubungan itu, Hishammuddin berharap agar rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP-SOP serta mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan.
“Ia harus dititikberatkan kerana sebaik sahaja Kerajaan mengumumkan bermulanya fasa endemik, bermakna kita semua perlu hidup bersama virus COVID-19,” katanya.
Terdahulu, Menteri Pelancongan telah membentangkan mengenai perkembangan terkini pada mesyuarat tersebut tentang pelaksanaan projek perintis gelembung perjalanan Langkawi yang memaklumkan setakat ini ia berjalan lancar seperti yang telah dirancang.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, sekiranya perkembangan positif ini berterusan, ia berupaya menjadi pembuka jalan ke arah pelaksanaan inisiatif gelembung perjalanan destinasi-destinasi yang lain.
Beliau berkata, Menteri-Menteri Kuartet telah menetapkan tempoh dua minggu untuk menilai perkembangan terkini di Langkawi sebelum mengangkat cadangan destinasi-destinasi lain ke Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri.
“Menteri Belia dan Sukan pula telah membentangkan mengenai pembukaan gimnasium dan bowling alley yang telah pun diumumkan minggu lepas.
Penting dijelaskan, Kerajaan benarkan pembukaan aktiviti sukan dan rekreasi di kawasan tertutup adalah dengan mengambil kira kesejahteraan rakyat terutama dari sudut kesihatan mental serta memahami kehendak pengusaha gimnasium sendiri.
“Namun, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menekankan bahawa pengusaha dan pengguna mesti bertanggungjawab serta berdisiplin dalam mematuhi garis panduan ventilasi yang telah ditetapkan yang amat penting memandangkan gimnasium merupakan kawasan tertutup,
“Ini sekaligus meningkatkan risiko jangkitan COVID-19 sekiranya ada pihak terleka tentang
pematuhan SOP dan garis panduan. Selain gimnasium, Menteri Belia dan Sukan turut membentangkan mengenai potensi pembukaan stadium kepada orang awam bagi menonton perlawanan bola sepak serta sukan-sukan lain yang masih di peringkat perbincangan,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH