21 SEPT : Parti Warisan dan Pejuang seharusnya bersama Pakatan Harapan (PH) bagi menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan blok pembangkang.
Kata penganalisis politik dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Norhafiza Mohd Hed, penyertaan Warisan dan Pejuang dalam menandatangani MoU persefahaman rentas parti itu bukanlah satu paksaan dan ia terpulang kepada pucuk parti pimpinan tersebut.
“Walaupun ia bukan satu paksaan, namun adalah lebih baik jika Warisan dan Pejuang dapat bersama-sama kerajaan sedia ada dan pembangkang lain untuk bersama bagi membanteras memerangi wabak COVID-19, ” katanya ketika dihubungi PNBBC Portal, hari ini.
Terdahulu, politik Malaysia pada 13 September lalu mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran negara.
Upacara menandatangani MoU atau Transformasi dan Kestabilan Politik itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan manakala bagi pihak PH diwakili PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.
Dalam pada itu, ketika ditanya usaha kerajaan Perikatan Nasional (PN) mula memperlihatkan kesan positif, Dr Norhafiza memaklumkan usaha kerajaan wajar dipuji dan langkah yang diambil kerajaan ketika negara berdepan dengan ancaman pandemik dan ekonomi adalah sangat baik.
Beliau yang juga Ketua Jabatan Pengajian Kemasyarakatan dan Kewarganegaraan, Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI berkata, ini juga memperlihatkan betapa pentingnya bagi semua pemimpin politik bersatu hati berusaha memberikan kestabilan politik kepada negara.
“Kalau politik tidak stabil kita tidak dapat melakukan usaha-usaha lain yang paling seirus adalah menangani COVID-19.
“Jika kestabilan politik telah dicapai ini bermaksud kerajaan boleh memfokuskan usahanya kepada faktor-faktor seperti kesihatan mahupun meningkatkan taraf ekonomi rakyat.
“Selain itu, tindakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang turut padang ke hospital bagi melawat pesakit dan memantau infrastruktur di institusi kesihatan itu merupakan langkah proaktif.
“Inilah yang sedikit sebanyak menyumbang penurunan kes COVID-19 dan dalam masa sama usaha meneruskan kadar imuniti vaksin itu sangat berkesan,” jelasnya.
Dr Norhafiza menambah, jika kerajaan Keluarga Malaysia yang didokong oleh parti-parti yang mendokong kerajaan PN mengekalkan momentum ini, tidak mustahil mereka boleh memenangi Pilihanraya Umum (PRU) yang akan datang. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH