21 SEPT: Pfizer dan BioNTech memaklumkan hasil ujian vaksin COVID-19 syarikat itu selamat digunakan ke atas kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun.
Hasil kajian berkenaan juga menunjukkan vaksin itu berupaya menghasilkan tindak balas imunisasi yang pantas, namun dos untuk kanak-kanak diberikan pada kadar lebih rendah berbanding individu berusia 12 tahun ke atas.
Sehubungan itu, syarikat itu akan mendapatkan kelulusan penggunaannya terhadap golongan terbabit dalam tempoh terdekat.
“Bagi peserta berusia lima hingga 11 tahun, penggunaan vaksin adalah selamat dan menunjukkan tindak balas antibodi yang kuat,” menurut kenyataan bersama dikeluarkan Pfizer dan BioNTech.
Berdasarkan hasil ujian itu, mereka akan menghantar data terbabit kepada Kesatuan Eropah (EU), Amerika Syarikat (AS) serta badan berwajib di seluruh dunia secepat mungkin.
Keputusan yang diperoleh itu adalah yang pertama bagi kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah, manakala ujian bagi vaksin Moderna untuk kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun, masih di dalam kajian.
Berdasarkan ujian yang dilakukan, kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun diberikan dua dos vaksin sebanyak 10 mikrogram berbanding 30 mikrogram kepada golongan dewasa.
Inokulasi itu diberikan dalam tempoh 21 hari ketika ini, kedua-dua vaksin Pfizer dan Moderna diberikan kepada golongan berusia 12 tahun ke atas di seluruh dunia.
Biarpun kanak-kanak kurang berisiko sekiranya dijangkiti COVID-19, wujud kebimbangan dengan kehadiran varian Delta yang boleh menjurus kepada kes lebih serius.
Malah, pemberian vaksin kepada kanak-kanak dilihat sebagai kunci utama memastikan sekolah dibuka dan membantu menamatkan pandemik itu.