22 SEPT : Offspring Inc, anak syarikat Sedania Innovator Bhd memperluas capaian globalnya berikutan kejayaannya menembusi pasaran Asia Barat, bermula dengan Bahrain.
Sedania dalam satu kenyataan hari ini berkata, susulan usaha terbaharunya itu, Offspring kini beroperasi di lima rantau, iaitu Asia, Amerika, Eropah, Afrika dan Asia Barat.
Pengarah Urusan Datuk Azrin Mohd Noor berkata syarikat bekerjasama erat dengan syarikat di Bahrain, dengan fokus kepada mengukuhkan kedudukan jenamanya selain memenuhi permintaan yang tinggi daripada pasaran baharu.
Offspring Inc adalah syarikat teknologi kesihatan yang khusus dalam penyelesaian penjagaan awal kanak-kanak, yang termasuk menghasilkan produk bayi organik berkualiti tinggi.
Selain itu, Offspring turut merancang untuk berkembang ke negara-negara jiran seperti Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu, dengan unjuran bahagian pasaran bernilai RM35 juta sebulan.