22 SEPT: Kapal-kapal asing yang terlibat dengan pembaikan kabel dasar laut masih diberikan Lesen Perkapalan Dalam Negeri (DSL) untuk beroperasi di perairan negara walaupun pengecualian Dasar Kabotaj bagi kapal asing dibatalkan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata ini dibuktikan dengan kelulusan 10 DSL diberikan kepada dua buah kapal asing yang sama bagi tempoh Disember 2020 sehingga Ogos 2021.
Malahan, kata beliau, kelulusan DSL telah diberikan dalam tempoh tiga hari sahaja berbanding lima hingga tujuh hari yang diambil sebelum ini ketika pengecualian tersebut masih berkuat kuasa.
“Pengecualian yang diberikan sebelum ini hanyalah merujuk kepada pengecualian ke atas proses pengesahan ketiadaan kapal tempatan yang perlu diperoleh oleh semua kapal asing yang ingin memohon untuk mendapatkan DSL. Kapal-kapal asing masih perlu memiliki DSL yang sah sebelum ianya memulakan operasi di perairan negara.
“Pengecualian diberikan sejak 1 April 2019 berikutan isu kelewatan pengeluaran DSL. Namun, dengan penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk penggunaan sistem eDSL, proses pengesahan telah dapat dipercepatkan.
“Kementerian Pengangkutan juga telah menyediakan Garis Panduan yang terperinci berhubung proses rundingan dan mediasi dengan mengambil kira keperluan sebagaimana yang dimohon oleh Malaysian Investment Development Authority (MIDA),” katanya pada sesi penggulungan Titah Diraja kementeriannya di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demkian bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen DAP Bagan, Lim Guan Eng mengenai isu pembatalan pengecualian Dasar Kabotaj bagi kapal asing yang melaksanakan kerja-kerja pembaikan kabel dasar laut di bawah seliaan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Dalam pada itu, Ka Siong memaklumkan Kementerian Pengangkutan (MOT) berpandangan kerajaan perlu mengimbangi usaha-usaha membina kapasiti industri perkapalan tempatan; meningkatkan keupayaan dalam sektor perkhidmatan domestic dan mengurangkan kebergantungan negara kepada kapal asing.
“Kerajaan juga perlu memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terjamin dengan mengurangkan pengoperasian kapal asing di perairan Malaysia dengan pertimbangan-pertimbangan yang lain.
“Perkara ini perlu dibincangkan secara menyeluruh dan MOT juga akan membentangkan dasar ini kepada Jemaah Menteri pada awal 14 Oktober 2021 selepas menerima ulasan daripada semua Kementerian dan agensi berkaitan untuk menentukan hala tuju berkaitan dasar ini,” katanya.
Sementara itu, menjawab persoalan Ahli Parlimen Pas Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkenaan isu pengisian 70 peratus pekerja tempatan bagi projek East Coast Rail Link (ECRL) sehingga bulan Ogos 2021, seramai 2,827 orang pekerja tempatan telah terlibat dalam pembinaan projek ECRL,
Beliau berkata jumlah tersebut mewakili 44 peratus daripada jumlah keseluruhan pekerja pada masa ini iaitu seramai 6,415 orang pekerja.
Jumlah ini akan terus meningkat seiring dengan kemajuan fizikal projek di mana keperluan tenaga kerja maksimum diperlukan dalam tempoh kemuncak kerja-kerja di tapak iaitu pada tahun 2022 dan 2023.
“Kerajaan juga berusaha untuk memastikan penglibatan kontraktor tempatan dalam projek mega ini. Jemaah Menteri pada 23 September 2020 telah bersetuju agar diwujudkan Jawatankuasa Khas Penyertaan Kontraktor Tempatan dan Bumiputera yang diurusetiakan oleh Kementerian Pengangkutan.
“Ini untuk memastikan pematuhan kepada klausa berkaitan dalam Perjanjian Engineering, Procurement, Construction & Commisioning (EPCC) mengenai perkara ini. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH