22 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mewujudkan lebih banyak Pusat Penilai COVID-19 (CAC) maya di negeri lain bagi memudahkan penilaian dan mengenal pasti pesakit COVID-19 sama ada perlu menjalani isolasi di rumah, dirujuk ke PKRC atau hospital untuk menjalani rawatan.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata langkah itu perlu selepas KKM melihat kejayaan dicapai oleh CAC maya yang diwujudkan di Greater Klang Valley, sejak Julai lalu.
“Berikutan peningkatan kes yang mendadak pada pertengahan Julai 2021 di Greater Klang Valley, Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley telah diwujudkan bagi melaksanakan pelan tindakan dengan lebih aktif, cepat dan menyeluruh ke atas sistem perkhidmatan sedia ada.
“Melalui inisiatif ini, CAC Maya (Virtual CAC) telah diwujudkan pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 (bergejala ringan) di Greater Klang Valley kemudiannya dipantau secara maya oleh pasukan perubatan KKM.
“Oleh yang demikian, hanya pesakit yang bergejala perlu ke CAC untuk dinilai status kesihatan bagi tindakan selanjutnya. Hasil daripada penubuhan CAC Maya, kedatangan pesakit di CAC Greater Klang Valley adalah rendah dan sentiasa dalam keadaan terkawal, walaupun jumlah kes positif COVID-19 masih tinggi,” katanya ketika sesi jawab lisan di Parlimen di sini, sebentar tadi.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BERSATU Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh yang meminta Menteri Kesihatan menyatakan bilangan Pusat Penilai COVID-19 (CAC) yang telah ditubuhkan, dibuka dan beroperasi di seluruh negara.
Mohd Fasiah juga mahu menteri berkenaan mennyatakan bilangan atau kapasiti pesakit COVID-19 yang boleh dirawat di CAC ini serta nyatakan prestasi dan keberkesanannya.
Berikutan kejayaan CAC Maya dalam memantau pesakit kategori 1 dan 2 (bergejala ringan) di Greater Klang Valley, Khairy berkata usaha untuk menubuhkan CAC Maya di lain-lain negeri sedang giat dijalankan bagi menangani peningkatan pesakit COVID-19 di seluruh negara.
Terdahulu, Khairy berkata sehingga kini, jumlah CAC di seluruh negara adalah sebanyak 209 CAC dan jumlahnya akan berubah mengikut keadaan semasa.
“Sekiranya bilangan pesakit meningkat di sesebuah lokaliti, maka bilangan CAC yang dibuka akan bertambah. Bilangan atau kapasiti pesakit yang dinilai di CAC turut bergantung kepada keadaan semasa di dalam daerah tersebut.
“Pihak Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah bertanggungjawab untuk menetapkan lokasi sesebuah CAC di sesebuah daerah.
“CAC boleh ditempatkan di klinik desa, klinik kesihatan atau klinik komuniti dan bagi daerah yang mempunyai bilangan pesakit yang tinggi, dewan komuniti atau stadium akan diubah suai untuk dijadikan CAC,” katanya.