22 SEPT: Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menjalankan beberapa kajian berkaitan isu kesihatan mental warganya bermula tahun 2019.
Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Jonathan Yasin, berkata kajian ini telah dijadikan rujukan utama dalam merangka tindakan pencegahan yang perlu diambil termasuk keperluan menambah baik Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada.
“Untuk makluman, pada 21 Februari 2020, PDRM telah mengeluarkan arahan pentadbiran dalaman melalui Arahan Pentadbiran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bil. 1/2020 mengenai pengurusan kesihatan mental warga PDRM.
“Arahan ini bertujuan untuk memberi pemahaman, kesedaran dan panduan kepada Ketua Jabatan dan pegawai yang terlibat mengenai tanggungjawab untuk bersama-sama membantu Pegawai Kanan Polis, Pegawai Rendah Polis dan Pegawai Awam di bawah seliaan masing-masing yang menunjukkan gejala tekanan dan kemurungan,” ketika sesi jawab lisan di Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen BN-Cameron Highlands (Ramli Mohd Nor) yang meminta menteri berkenaan menyatakan apakah langkah yang dilakukan oleh pihak Kementerian berhubung isu kesihatan mental anggota PDRM.
Berikutan itu, Jonathan berkata Bahagian Agama dan Kaunseling (BAKA), Bukit Aman memainkan peranan proaktif dengan melaksanakan beberapa langkah dan inisiatif susulan untuk mengekang masalah isu kesihatan mental dalam kalangan warga PDRM.
Jonathan berkata BAKA juga melaksanakan publisiti dan promosi melalui infografik dan poster berkaitan kepentingan menjaga kesihatan mental.
Beliau berkata infografik ini mengandungi elemen faktor penyebab dan simptom masalah kesihatan mental serta tindakan yang perlu diambil oleh ketua jabatan atau penyelia apabila berhadapan dengan mereka yang mempunyai simptom tersebut.
“PDRM juga memperkasakan peranan rakan sekerja melalui program Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) iaitu dengan memastikan setiap kontinjen, briged, formasi termasuk di peringkat daerah dan balai mempunyai ahli AKRAB.
“Ahli AKRAB berperanan untuk mengesan atau mengenal pasti mereka yang mengalami masalah kesihatan mental dan sekali gus membantu pihak pengurusan sumber manusia PDRM mengambil tindakan awal,” katanya.
Jonathan berkata kementerian juga memberi pemahaman umum dalam aspek psikologi dan kaunseling kepada Ketua Jabatan dan penyelia melalui slot taklimat yang dimasukkan dalam modul latihan PDRM.
Katanya, BAKA juga mengadakan program turun padang bagi memberi kesedaran dan peneguhan pengetahuan mengenai peranannya dan hubungannya dengan kesejahteraan warga PDRM khususnya kesejahteraan psikologi.