22 SEPT: Pemimpin parti liberal Kanada, Justin Trudeau dijangka dilantik kembali sebagai perdana menteri buat penggal ketiga apabila partinya memenangi 156 kerusi Dewan Rakyat pada pilihan raya ke-44.
Parti Trudeau menang majoriti mudah diikuti Parti Konservatif dengan 121 kerusi, Blok Quebecois 32, Parti Demokratik Baru 27, dan Parti Hijau dua.
Jumlah kerusi mungkin tidak terlalu berbeza dengan komposisi Dewan Rakyat ketika dibubarkan bulan lalu.
Terdapat 338 kerusi di dewan, di mana parti perlu memenangi sekurang-kurangnya 170 kerusi untuk membentuk kerajaan majoriti.
Sebelum dewan dibubarkan Parti Liberal menguasai 155, Parti Konservatif (119), Blok Quebecois (32), Parti Demokratik Baru (24), dan parti hijau (2).
Berdepan kritikan dari parti pembangkang kerana mengadakan pilihan raya di tengah-tengah gelombang keempat COVID-19, Trudeau mengumumkan pilihan raya mengejut itu pada 15 Ogos, yang mengakhiri pemerintahan minoritinya selama hampir dua tahun.
Trudeau memutuskan demikian bagi memberi peluang kepada rakyat memilih siapa yang mereka fikir layak serta mampu memimpin negara itu keluar dari krisis COVID-19.