22 SEPT: Orang ramai yang datang dari negeri selain Kedah dan Perlis untuk ke Pulau Langkawi, tanpa kebenaran agensi pelancongan, boleh dikenakan kompaun kerana melakukan kesalahan merentas negeri tanpa kebenaran.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, polis akan mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan perjalanan rentas negeri tanpa kebenaran, sekiranya ditahan atas alasan ingin ke Pulau Langkawi, tanpa menggunakan khidmat agensi pelancongan yang ditetapkan.
Ini kerana kebenaran menggunakan perjalanan darat untuk aktiviti pelancongan ke Pulau Langkawi, perlu melalui khidmat agensi pelancongan ditetapkan merangkumi tempat penginapan, lokasi tumpuan dan aktiviti perjalanan sepanjang berada di pulau berkenaan.
“Masih ada pihak yang tidak memahami syarat-syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) melalui gelembung pelancongan untuk bercuti ke Pulau Langkawi dan saya ingin mengingatkan bahawa setiap pergerakan melalui jalan darat ke Pulau Langkawi, perlu menggunakan khidmat agensi pelancongan.
“Malah mereka juga akan diarahkan untuk menjalani pemeriksaan ujian saringan RTK, sama ada di Jeti Kuala Kedah atau Jeti Kuala Perlis, sebelum dibenarkan menaiki feri ke Pulau Langkawi,” katanya.
Acryl Sani, berkata bagaimanapun mereka yang memilih untuk pergi ke pulau berkenaan dengan menaiki penerbangan dikecualikan daripada mendapatkan kebenaran polis selepas mereka akan menjalani ujian saringan RTK di lapangan terbang sebelum berlepas.
“Kebenaran untuk ke bercuti ke Pulau Langkawi juga turut diberikan kepada mereka yang tinggal di Kedah dan Perlis tanpa sebarang kebenaran pihak polis,” katanya.