22 SEPT: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, bersimpati nasib wanita rakyat Malaysia yang berkahwin dengan lelaki bukan warganegara dan melahirkan anak di luar negara, namun bayi berkenaan tidak mendapat kewarganegaraan secara automatik kerana bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.
Hamzah berkata, sebagai seorang Menteri yang telah mengangkat sumpah untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan, beliau terikat dengan undang-undang dan perundangan sedia ada dalam negara berhubung dengan kewarganegaraan yang seperti diperuntukkan dalam Bahagian III Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.
Berikutan itu, jelas Hamzah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) berada dalam keadaan terhimpit di atas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Suriani Kempe & 6 lagi – lawan Kerajaan Malaysia dan juga kes Mahisha Suhaila Abdul Majeed -lwn- Ketua Pengarah Pendaftaran Negara & 2 Lagi berhubung isu pentafsiran perkataan “bapa” dalam Jadual Kedua, Bahagian II, Seksyen 1(b) dan 1(c) Perlembagaan Persekutuan.
“Keputusan kes ini menyebelahi Kerajaan dan telah dibuat rayuan oleh Mahisha Suhaila Abdul Majeed kepada Mahkamah Rayuan dan akan dibicarakan pada bulan November 2021.
“Setelah menerima keputusan yang berbeza, KDN bercadang untuk membawa perkara ini bagi mendapat polisi baharu kerajaan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi memudahkan ibu-ibu melahirkan anak mereka di luar negara walaupun berkahwin dengan warganegara asing.
“Dalam masa yang sama perkara ini perlu mendapat persetujuan Majlis Raja-Raja selaras dengan Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika menggulung ucapan menjunjung kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.
Justeru itu, KDN mengambil keputusan untuk merayu dan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Suriani Kempe & 6 lagi – lawanKerajaan Malaysia) bagi mengelakkan contempt of court dan pada masa yang sama supaya tidak melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata KDN bersimpati atas kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim akibat kejadian rusuhan di kawasan Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, pada 27 November 2018.
“Berdasarkan keputusan inkues, pihak Polis telah menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti pelaku-pelaku jenayah yang dinyatakan di dalam inkues tersebut.
“Malah, seramai 18 tertuduh telah dituduh di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan (merusuh) dan perbicaraan masih
berjalan sehingga 23 September 2021.
“Dua lagi tertuduh telah dituduh di bawah Seksyen 427 KK (Khianat) dan telah dikenakan hukuman denda RM7,000.00 setiap seorang.
“Selain itu, PDRM juga telah merujuk kepada Jabatan Peguam Negara berhubung 12 suspek yang turut ditahan berkaitan dengan kes ini untuk arahan selanjutnya,” katanya.