23 SEPT: Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, diminta mempertimbangkan secara serius mengenai cadangan supaya Ahli Parlimen dibenarkan memakai baju batik setiap hari Khamis semasa persidangan berlangsung.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, cadangan berkenaan amat penting dan dilihat mampu membantu usahawan kraftangan berasaskan batik mempromosikan produk masing-masing dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Saya teringat perkara itu kerana saya sendiri berada dalam dewan ketika itu. Jadi saya berharap Parlimen dapat mengambil kira semua ini dan mempertimbangkan semula cadangan berkenaan secara bertulis bagi membantu pengusaha batik.
“Saya juga nampak speaker juga membuat jubah baharu yang mempunyai corak batik dan kraftangan itu adalah satu permulaan.
“Insya-Allah kalau dibenarkan batik kita bolehlah memakainya,” katanya ketika menjawab celahan Ahli Parlimen PH-Balik Pulau semasa sesi penggulungan ucapan menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.
Terdahulu, Ahli PH-Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, meminta MOTAC mengemukakan semula cadangan supaya Ahli Parlimen dibenarkan memakai pakaian batik pada hari Khamis sepanjang persidangan Parlimen seperti dicadangkan pada 2019.
Muhammad Bakhtiar juga menegaskan Speaker Dewan Rakyat pada dasarnya sudah bersetuju dapat diteruskan MOTAC, hari Khamis sokongan moral di Indonesia memang dibenarkan.
“Kalau perkara sama boleh dilaksanakan di Malaysia memberikan satu indikator dan sokong usahawan batik,” tambah Muhammad Bakhtiar lagi.
Dalam perkembangan lain, Nancy berkata MOTAC akan membuat pengumuman mengenai pembukaan semula taman tema dan pusat hiburan keluarga dalam masa terdekat.
Nancy berkata tindakan berkenaan adalah selari dengan pengumuman kerajaan untuk membenarkan rentas negeri setelah 90 peratus kadar vaksinasi dewasa dicapai.