23 SEPT: Kerajaan akan meningkatkan kadar capai internet kelajuan tinggi di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak menerusi pelaksanaan projek pembinaan tapak menara telekomunikasi baharu.
Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata selain itu kerja-kerja menaik taraf pemancar sedia ada, menyediakan premis dengan gentian optik dan jalur lebar satelit turut dirancang.
“Komitmen untuk menjaya misi ini adalah satu komitmen nasional besar.
“Justeru, tidak dapat tidak ia perlu dijayakan selaras dengan konsep yang kementerian anjurkan iaitu kesalinghubungan adalah hak asasi manusia,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Parlimen hari ini.
Annuar berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen BERSATU Beaufort, Datuk Azizah Mohd Dun yang meminta menteri berkenaan menyatakan apakah langkah diambil kerajaan bagi meningkatkan kadar capaian internet di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak terutama di luar bandar.
Mengulas lanjut, Annuar berkata bagi Sabah, sebanyak 538 tapak menara telekomunikasi baharu dirancang dengan 51 telah siapkan; 2,041 stesen pemancar dinaik taraf daripada sasaran 3,500 stesen.
Beliau berkata sebanyak 81,268 daripada 251,165 premis menerima gentian optik sementara di 138 lokasi dirancang bagi jalur lebar satelit.
Di Sarawak pula terdapat 823 menara telekomunikasi baharu dirancang dengan 74 sudah siap; 1,615 daripada 3,012 stesen pemancar dinaik taraf; 47,233 daripada 73,588 premis menerima gentian optik, manakala 523 lokasi dirancang bagi jalur lebar satelit.