23 SEPT: Satu laporan lengkap soal selidik perlu disediakan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berhubung kajian menyatakan mahasiswa tidak tertekan mengikuti pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara dalam talian.
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan ini kerana soal selidik itu tidak memberi gambaran sebenar tahap penerimaan mahasiswa terhadap sistem PdP dalam talian.
“Terdapat beberapa soalan kritikal belum dijawab seperti apakah metodologi diguna pakai bagi kajian itu. Siapakah respondennya? Adakah mereka mahasiswa yang menjalani pengajian di rumah atau di kampus?
“Adakah mereka datang daripada golongan B40 atau yang lebih berkemampuan? Adakah kajian membabitkan seramai 24,562 orang mahasiswa ini memadai untuk mewakili seluruh mahasiswa di Malaysia?
“Persoalan ini tidak akan terjawab melainkan satu laporan soal selidik yang lengkap dikeluarkan untuk penelitian awam,” katanya, hari ini.
Terdahulu, KPT sebelum ini memaklumkan kajian dilakukan pihaknya mendapati 78.4 peratus mahasiswa tidak berada dalam keadaan tertekan mengikuti PdP secara dalam talian.
Sebelum ini, KPT menjelaskan akan melaksanakan kajian mendalam bagi melihat semula struktur yuran di IPT secara menyeluruh.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dilaporkan sebagai berkata, ia hasil dapatan 78.4 peratus pelajar di IPT mengakui tidak tertekan dengan PdP dalam talian dilaksanakan akibat pandemik COVID-19.
Dalam pada itu, KMUM menggesa agar KPT melaksanakan segera pelan kontigensi bagi menangani mahasiswa yang tertekan terutama apabila sesi akademik sesi baharu bermula tidak lama lagi.
KMUM memberitahu, pengalaman mahasiswa menjalani mod pengajian dalam talian amat bergantung kepada pelbagai faktor seperti fasiliti, capaian internet dan suasana sekitar.
“Mahasiswa yang tidak mempunyai capaian internet yang stabil masih bergelut untuk menyesuaikan diri mereka dengan norma baharu ini.
“Kes bunuh diri membabitkan mahasiswa baru-baru ini turut menjadi indikator betapa pentingnya isu ini.
“Ia ditambah pula dengan masalah penginapan dihadapi mahasiswa, sekali gus mempengaruhi kesihatan mental pelajar,” katanya.