23 SEPT: Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, kerana gagal menghadirkan diri untuk dituduh berkaitan kes fitnah terhadap Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Majistret Nordiana Abd Aziz mengeluarkan perintah tersebut selepas pihak pendakwaan memohon satu waran tangkap dikeluarkan terhadap Rewcastle-Brown.
Rewcastle-Brown,62, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah melalui buku The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose.
Nordiana kemudian menetapkan 23 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Engku Ahmad Rashdi Engku Abdillah, Noor Haslinda Che Seman dan Nadia Zulkefli.
Terdahulu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Rewcastle-Brown berhubung fitnah dalam buku ‘The Sarawak Report-The Inside Story of the 1MDB Expose’ dan menuntut ganti rugi am sebanyak RM100 juta.
Sultanah Nur Zahirah yang memfailkan saman pada 21 November 2018, mendakwa kenyataan berbaur fitnah itu antara lain bermaksud baginda terbabit dalam amalan rasuah dan mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Terengganu, selain menggunakan status baginda untuk mempengaruhi penubuhan Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) yang kemudian dikenali sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).