23 SEPT : Semua Ahli Parlimen tidak kira kerajaan mahupun pembangkang akan menerima peruntukan sama rata bagi tempoh berakhir tahun ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Mastura Mohd Yazid berkata keputusan peruntukan sama rata kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang yang bermula mulai September ini sehingga Disember tahun ini, seperti mana dipersetujui Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
“Penyediaan peruntukan kawasan Parlimen kepada Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dengan nilai yang berbeza sebelum ini adalah mengikut dasar sedia ada yang terdahulu dan bergantung kepada kedudukan semasa kewangan kerajaan.
“Perdana Menteri sangat komited melaksanakan transformasi Parlimen dan atas sebab itu ingin maklumkan di dewan mulia ini bahawa bagi baki empat bulan tahun ini mulai September hingga Disember 2021, Perdana Menteri telah bersetuju memberikan peruntukan (sama rata) kepada semua Ahli Parlimen tidak kira kerajaan mahupun pembangkang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Titah Diraja kementeriannya di persidangan Dewan Rakyat, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam pada itu, menjawab dakwaan Ahli Parlimen DAP Segambut, Hannah Yeoh berkenaan khidmat pesanan ringkas (SMS) berkenaan perkembangan COVID-19 termasuk prosedur operasi standard (SOP) kepada orang ramai, Mastura menyangkal dakwaan tersebut.
“SMS ini disampaikan dengan kerjasama 13 penyedia perkhidmatan komunikasi dan kandungan hebahan SMS tak bersifat retorik namun sebagai peringatan, amaran dan medium memaklumkan polisi terkini kerajaan.
“Semua maklumat SOP turut dimuat naik di laman sesawang Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Telegram rasmi MKN dan tidak ada apa-apa bayaran untuk adakan usaha SMS ini,” katanya. – Oleh AIMAN SADIQ ABDULLAH