23 SEPT: Polis mengesahkan siasatan dilakukan terhadap seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setakat ini hanya bagi dua kes iaitu memiliki dadah dan senjata api serta peluru dan bukannya kes kecurian barang kes bernilai AS$6 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan, berkata tangkapan dilakukan terhadap pegawai terbabit dan dua kertas siasatan dibuka terhadapnya.
“Kes pertama disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 36 Akta Senjata 1960, manakala kes kedua disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Suspek kini direman empat hari bermula semalam hingga Sabtu ini untuk siasatan lanjut dua kes itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, SPRM mengesahkan tiga pegawainya termasuk suspek ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan dalam urusan kes membabitkan seorang bekas ketua jabatan.
Agensi itu turut memaklumkan, ketiga-tiga pegawai sudah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya untuk permohonan reman selama enam hari bermula 14 September lalu
SPRM menegaskan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana pegawainya yang terbabit dalam sebarang perbuatan jenayah.
Bagaimanapun, siasatan dibuka SPRM itu mendapat kritikan dan turut dipersoalkan pelbagai pihak kerana kesalahan itu disifatkan sebagai jenayah yang perlu disiasat polis.