23 SEPT: Data terbaharu menunjukkan Malaysia merekodkan 28 juta pengguna media sosial atau 86 peratus daripada penduduk negara ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata statistik itu juga menunjukkan rakyat Malaysia antara yang paling aktif menggunakan media sosial dan bilangan pengguna meningkat sebanyak dua juta atau tujuh peratus dalam tempoh setahun berbanding tahun 2020.
Menurutnya, peningkatan penggunaan media sosial adalah berikutan keadaan semasa negara berdepan pandemik COVID-19 yang menyebabkan masyarakat hanya duduk di rumah ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Penggunaan internet sekarang semakin meningkat semenjak kita berhadapan dengan PKP,” katanya ketika menjadi tetamu program ‘Bicara Eksklusif: Kuasa Media Sosial Perangkap Atau Pemangkin’ secara langsung menerusi laman Facebook KKMM, semalam.
Selain itu, katanya, penjawat awam juga perlu faham dan jelas dengan cara menggunakan media sosial, terutama dalam perbezaan antara melaksanakan tanggungjawab ketika bertugas dengan kegunaan peribadi.
Mohammad berkata, penjawat awam seharusnya bijak menggunakan media sosial secara bertanggungjawab dalam memastikan tugasan masing-masing dapat dilakukan dengan lancar, di samping menjaga bahasa digunakan ketika berkomunikasi seperti
Di samping itu, Mohammad juga mengingatkan penjawat awam bukanlah ahli politik dan perlu berpegang kepada dasar ‘government of the day’ (kerajaan yang memerintah) dengan melaksanakan dasar kerajaan semasa.
Beliau berkata, media sosial juga sudah menjadi ejen penyebaran maklumat kepada rakyat, namun pada masa sama masyarakat perlu bijak menilai sesuatu maklumat yang diterima sebelum disebarkan kepada orang lain.