23 SEPT: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, mengesahkan Sarawak bakal menjadi negeri pertama yang akan melaksanakan pemberian ‘booster shoot’ atau suntikan dos penggalak vaksin COVID-19.
Khairy yang juga Ahli Parlimen BN-Rembau berkata langkah berkenaan antara empat strategi yang digariskan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mengurangkan kadar jangkitan kes COVID-19 di Sarawak yang mencatatkan peningkatan, sejak kebelakangan ini
“Kita sedang menunggu tarikh bila kita boleh mulakan ‘booster shot’ kepada golongan yang berisiko tinggi dan Sarawak akan jadi negeri pertama kita akan mulakan program berkenaan disebabkan perkara yang sedang berlaku (peningkatan kes positif COVID-19),” katanya pada sesi penggulungan usul menjunjung kasih Titah Diraja Yang di-Pertuan Agong bagi pihak KKM di Parlimen, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan celahan Ahli Parlimen PH-Sibu, Oscar Ling berhubung strategi KKM menangani peningkatan peratusan kes harian dan kematian akibat COVID-19 di Sarawak.
Mengulas lanjut, Khairy berkata tiga lagi strategi ialah meningkatkan operasi kenal pasti, ujian, kesan, kuarantin dan sokongan (FTTIS), mempercepatkan vaksinasi ke atas remaja, dan mengambil langkah sekatan pemutus litar atau circuit breaker yang pantas dan cepat di kawasan yang berlakunya peningkatan kes yang tinggi.
Sehingga kini, Sarawak terus melaporkan kes positif harian empat angka dengan 1,766 kes dilaporkan pada semalam, sekali gus menjadikan jumlah kes kumulatif di negeri Bumi Kenyalang itu kepada 190,609 kes.
Dalam pada itu, Khairy menegaskan orang ramai kini boleh menggunakan keputusan positif hasil saringan kit ujian pantas (RTK) antigen secara kendiri untuk menjalani perintah kuarantin dan pengasingan.
Ini adalah prosedur terbaharu KKM berbanding sebelum ini yang menyaksikan hanya keputusan Polimerase-Transkripsi Terbalik (RT-PCR) dianggap sebagai ujian diagnostik bagi mengesahkan seseorang positif COVID-19 dan perlu menjalani kuarantin serta pengasingan.
Khairy berkata ujian RT-PCR akan dilakukan bagi tujuan pengesahan dan selepas pesakit tamat tempoh kuarantin seperti ditentukan kakitangan perubatan bertauliah.
Beliau berkata, keperluan melakukan ujian RT-PCR hanya diperuntukkan bagi individu yang selesai menjalani kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan kes positif COVID-19.
“Masyarakat diperkenalkan dengan penggunaan kit ujian kendiri atau RTK Antigen, justeru ia dapat membantu dan memudahkan proses pengesanan awal dan pengawalan jangkitan COVID-19.
“Secara tidak langsung, ia membantu mengurangkan bebanan petugas kesihatan. Bagi kes yang positif menerusi RTK Antigen, individu berkenaan akan terus diarah untuk pengasingan. Bagaimanapun, pengesahan menerusi RT-PCR tetap dijalankan,” katanya.