23 SEPT: Bakal pengantin di Pulau Pinang perlu menjalani ujian saringan COVID-19, sekurang-kurangnya menggunakan kit ujian pantas antigen COVID-19 sebelum akad nikah.
Selain bakal pengantin, wali dan saksi nikah juga wajib menjalani ujian saringan COVID-19 sebagai usaha membendung penularan wabak itu.
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Datuk Mohd Zakuan Zakaria, berkata peraturan itu berkuatkuasa hari ini.
Tegasnya, bagi kit ujian pantas antigen COVID-19, ia perlu dilakukan 30 minit sebelum majlis akad nikah berlangsung.
Dalam satu kenyataan, Mohd Zakuan berkata, akad nikah hanya dibenarkan di Pejabat Agama Daerah (PAD) dan pasangan pengantin yang didapati negatif sahaja dibenarkan meneruskan akad nikah.
“Bakal pengantin berlainan daerah atau negeri pula hendaklah mendapat kebenaran merentas daripada pihak polis. Jika gagal (rentas daerah atau negeri), boleh melantik dan mewakilkan seorang wakil untuk menerima nikah bagi pihak mereka,” katanya/
Beliau berkata, majlis akad nikah di PAD dijalankan dengan prosedur operasi standard(SOP) ketat dan hanya 10 pasangan dibenarkan setiap hari
Hanya, tujuh orang membabitkan pengantin lelaki dan wanita, wali, saksi, ibu atau bapa pengantin lelaki serta jurugambar sahaja dibenarkan pada setiap sesi yang mengambil masa tidak lebih 30 minit.
Mohd Zakuan berkata, kursus praperkahwinan secara bersemuka ditangguhkan dan digantikan dengan proses temu dan kebenaran berkahwin di Pulau Pinang dengan pendaftaran bagi proses temu duga boleh dilakukan di laman sesawang emunakahat.penang.gov.com.