23 SEPT: Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang melakukan kajian terperinci mengenai kebolehlaksanaan mengaplikasikan teknologi seperti analisis data raya automasi dan penggunaan sensor yang canggih bagi memperkasakan industri institusi sekolah memandu di seluruh negara.
Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu masih di peringkat pengujian dan belum dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Contohnya kalau seseorang itu membuat ujian dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), bukan sahaja kamera litar tertutup (CCTV) dan video rakaman tetapi sensor juga akan diletakkan dalam kenderaan yang sedang menjalankan ujian.
“Pada waktu yang sama apabila di litar semasa (ujian) meletak kenderaan, semua tiang tempat meletak kenderaan akan dipasang kamera dan sensor,” katanya ketika menjawab soalan di sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BERSATU-Libaran, Datuk Zakaria Mohd Edris meminta penjelasan MOT mengenai apakah usaha kerajaan untuk memperkasakan teknologi untuk industri sekolah memandu ketika pasca COVID-19 dan masa depan.
Mengulas lanjut, Ka Siong menambah, dengan adanya penggunaan teknologi dan sensor semua maklumat dapat dikawal oleh pusat kawalan dan integriti dapat ditegakkan.
Ka Siong berkata penggunaan automasi juga boleh melihat semula perkara yang berlaku sekiranya ada dakwaan oleh mana-mana pihak.
Terdahulu, Ka Siong berkata memahami dan prihatin dengan kesukaran yang terpaksa dihadapi oleh pengendali institut memandu (IM) akibat pandemik COVID-19, MOT telah memutuskan pemberian moratorium selama tiga bulan iaitu sehingga 30 November 2021.
Beliau berkata langkah berkenaan merangkumi keperluan pembaharuan permit IM bagi mana-mana yang tempoh sah laku permitnya telah tamat di antara bulan Januari hingga September 2021.
“Di samping itu, Lesen Belajar Memandu (LDL) yang tamat tempoh melebihi dua tahun bermula 13 Januari 2021 juga dilanjutkan sehingga tahun hadapan iaitu 30 Jun 2022.
“Tempoh lanjutan telah dibenarkan untuk membantu mereka yang tidak dapat mengikuti proses mendapatkan lesen dan menduduki ujian memandu akibat penutupan pengoperasian IM yang dianggarkan lebih kurang 462,000 calon yang dikatakan backlog ini.
“Seterusnya pelanjutan tempoh ini juga akan membolehkan pihak IM mengaturkan ujian untuk semua calon dengan pihak JPJ dan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata kerajaan juga telah memberikan moratorium dalam urusan pembaharuan permit Institut Memandu, Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM) dan Sijil Kenderaan Institut Memandu (SKIM) sehingga 31 Disember 2021 kepada permit dan sijil yang telah dan akan tamat bermula 1 Julai 2021.
Berikutan itu pemegang SPIM dan SKIM dibenarkan untuk menjalankan operasi latihan dan pengujian dalam tempoh tersebut.