23 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan tiada remaja akan tercicir untuk menerima suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 (PICK) Remaja.
Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ini kerana pihaknya mempunyai bekalan vaksin mencukupi bagi 3.2 juta remaja berusia 12 hingga 17 tahun di seluruh negara.
Beliau berkata, remaja OKU di sekolah harian dengan ketidakupayaan pendengaran, penglihatan dan masalah pembelajaran pula akan dipanggil janji temu mengikut penggiliran sekolah di PPV terpilih.
“Remaja OKU dengan ketidakupayaan masalah tingkah laku diberikan vaksin di hospital atau klinik kesihatan secara janji temu.
“Saya ingatkan kepada ibu bapa, jangan berlari ke PPD (Pejabat Pendidikan Daerah). Tarikh dan masa janji temu akan diberi secepat mungkin,” katanya menerusi sidang media, malam tadi.
Terdahulu, seramai 410,489 remaja telah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 setakat 21 September lalu.
Bagi pelajar sekolah berasrama di bawah KPM dan Majlis Amanah Rakyat (Mara) termasuk murid Orang Kurang Upaya (OKU) akan diberi janji temu menerusi MySejahtera.
Manakala, remaja tidak bersekolah dibenarkan terus ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang menjalankan PICK Remaja tanpa sebarang janji temu.
Dalam pada itu, Noor Azmi memaklumkan bagi pelajar sekolah antarabangsa dan swasta pula akan menerima di PPV sekolah secara berjadual atau menerusi program jangkau luar KKM dan klinik swasta terpilih.
“KKM meletakkan sasaran untuk semua remaja lengkap vaksinasi selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini,” katanya.