23 SEPT: Biarpun penyertaan dan kemenangan pingat emas, atlet lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dibatalkan, namun beliau mungkin tetap akan menerima ‘durian runtuh’ daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS), tidak lama lagi.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu ketika menggulung ucapan menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong di Parlimen, sebentar tadi.
Ahmad Faizal yang juga Ahli Parlimen BERSATU-Tambun berkata, pemberian insentif berkenaan dibuat dengan mengambil kira kejayaan Ziyad melakukan lontaran yang memecahkan rekod dunia biarpun ia tidak dikira selepas penyertaan dan kemenangan pingat emas dimenanginya dibatal pegawai pertandingan.
“Kita akan sokong beliau bawa ke peringkat paling tinggi untuk mendapatkan hak dan keadilan berikutan insiden berkenaan.
“MPN dan KBS akan meneruskan pemberian insentif kepada Ziyad dan pastikan kejayaan dibuat di Tokyo mendapat ganjaran besar bersesuaian,” katanya ketika menjawab celahan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer yang meminta Ahmad Faizal menyatakan bentuk ganjaran bakal diberikan kepada Ziyad oleh kerajaan selepas pingat emas dimenangi dibatalkan.
Terdahulu, Ahmad Faizal berkata KBS memandang serius berhubung insiden pembatalan pingat emas yang dimenangi oleh Ziyad Zolkefli di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
Ahmad Faizal berkata, KBS juga menyokong pendirian Ziyad bahawa dakwaan mengatakan beliau lewat adalah tidak berasas sama sekali.
“Keputusan pengadil atau pegawai teknikal yang membatalkan kemenangan Ziyad adalah hasil provokasi pegawai dan jurulatih pasukan Ukraine di mana atlet mereka adalah pesaing utama wakil negara kita.
“Bagaimanapun, KBS akan menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan pendirian dan dakwaan kita mempunyai asas kukuh.
“Berikutan itu, KBS juga sudah mewujudkan jawatankuasa siasatan dalaman diketuai oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Borhan Dolah bagi menyiasat pembatalan penyertaan dan kemenangan atlet paralimpik negara, Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020.
“KBS akan meneliti pandangan jawatankuasa berkenaan dan merancang tindakan susulan bersama Majlis Paralimpik Malaysia dan Persatuan Para Olahraga Malaysia mengenai insiden berlaku dan memohon supaya sesi pendengaran khas dibuat oleh Majlis Paralimpik Antarabangsa (IPC) dan Persatuan Olahraga Para Dunia (WPA) ke atas rayuan dikemukakan, sebelum ini,” katanya.
Ahmad Faizal juga mengesahkan KBS juga sedang mempertimbangkan kemungkinan membawa isu pembatalan penyertaan dan pingat emas Ziyad di Sukan Paralimpik Tokyo 2020 ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) jika kita gagal menyakinkan IPC dan WPA.
“KBS juga memang serius perkara ini dan akan menambah baik SOP di temasya sukan antarabangsa terutama membabitkan atlet paralimpik supaya insiden sama tidak berulang lagi,” katanya.