5 lokaliti di Sabah, Pahang Dikenakan PKPD 26 September
24 SEPT : Lima lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 26 September ini.
Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad berkata, dua lokaliti di Sabah yang dikenakan PKPD itu di Ranau melibatkan Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan serta satu lokaliti di Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd, Batu 46, Tulid, Sook.
Manakala Di Pahang, PKPD dilaksanakan Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakan dan Perkampungan Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom di Mukim Ulu Jelai, Lipis.
PKPD lima lokaliti berkenaan dilaksanakan selama dua minggu dan dijadual tamat pada 9 Oktober depan.
Sementara itu, tiga lokaliti di Pahang dilanjutkan PKPD sehingga 9 Oktober depan iaitu di Pos Sinderut, Mukim Ulu Jelai Lipis serta dua perkampungan Orang Asli iaitu Kampung Pasu dan Kampung Penderas di Kuala Krau, Temerloh.
Dalam pada itu, tiga lokaliti ditamatkan PKPD pada 25 September iaitu di Felda Keratong 5, Romping, Pahang; Kampung Ulu Groh, Kampar, Perak dan Kampung Kopungit, Kota Kinabalu, Sabah.