24 SEPT: Kerajaan digesa untuk mempercepatkan pemberian suntikan dos ketiga vaksin COVID-19 atau dos penggalak dalam memastikan masyarakat tetap dilindungi di sebalik kemunculan varian baharu virus berkenaan.
Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, kemunculan varian baharu mungkin melemahkan vaksin yang sudah diterima khususnya oleh warga emas dan mereka yang mempunyai komorbiditi.
Justeru, menurut beliau, keputusan untuk memberikan dos ketiga sebagai penggalak kepada kekebalan imun sistem golongan berisiko adalah sangat penting.
“Perincian itu haruslah dibuat dengan pantas bagi memastikan masyarakat tetap dilindungi daripada pandemik ini. Semakin cepat perincian untuk pemberian dos ketiga diputuskan dan diedarkan akan membawa kesan yang lebih baik.
“Mungkin pada masa ini, kerajaan perlu memberi keutamaan dalam kajian penyelidikan perubatan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) bagi membolehkan negara kita menyediakan sendiri vaksin supaya penyediaannya dapat dipercepatkan berbanding sekarang,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin sewaktu menjawab soalan di persidangan Dewan Rakyat memaklumkan kerajaan masih menunggu tarikh pemberian dos ketiga vaksin dengan Sarawak mungkin menjadi negeri pertama menerimanya berikutan peningkatan ketara kes di negeri itu.
Menurut laporan terbaharu, 80 peratus populasi dewasa telah divaksinasi sepenuhnya dan 93.1 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos dan secara keseluruhan, hampir 41 juta dos telah diberikan kepada penduduk negara ini.
Dalam pada itu, Lam Thye memuji usaha pihak berkuasa yang berusaha keras memastikan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mencapai tahap kejayaan yang memuaskan.
“Tetapi kita perlu meneruskan program imunisasi sehingga kita sampai tahap betul betul selamat. Kita baru diberitahu Menteri Kesihatan bahawa konsep imuniti kelompok tidak diapliklasikan lagi.
“Mengikut standard piawaian global, kita mungkin bermula agak lewat berbanding negara lain tetapi konsistensi dan kegigihan yang ditunjukkan menjadikan Malaysia mengatasi banyak negara lain yang masih berusaha untuk mendapatkan imuniti kelompok,” katanya.
Sementara itu, Lam Thye menasihatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada walaupun negara sudah hampir mencapai imuniti kelompok.
Tambah beliau, setelah dibenar merentas daerah dan diberi sedikit kelonggaran lain, orang ramai didapati berkumpul secara besar-besaran di kawasan air terjun, pantai dan banyak lagi tempat rekreasi tanpa penjarakan fizikal yang mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
“Kita harus ingat walaupun kelonggaran-kelonggaran ini diberikan kita tetap wajib mematuhi SOP yang ditetapkan pihak berkuasa khasnya yang membabitkan orang ramai iaitu memakai pelitup muka, mematuhi jarak penjarakan sosial dan kerap mencuci tangan.
“Majikan dan pemilik kedai makan pula harus sentiasa peka memastikan pelanggan dan pekerja mereka bukan sahaja sudah melengkapkan dua dos vaksin tetapi turut mematuhi garis panduan SOP kedai makan yang ditetapkan,” katanya.