24 SEPT : Kebenaran kehadiran penonton ke venue sukan dan rekreaksi di kawasan Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) ditangguh sementara bagi membolehkan perincian semula Protokol Am Pengurusan Penonton/ Penyokong dilaksanakan dengan mengambil kira penilaian risiko semasa.
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi kenyataan malam ini berkata, KBS telah membentangkan cadangan kehadiran penonton atau penyokong bagi pertimbangan kerajaan membabitkan kawasan di bawah PPN Fasa Dua dan Tiga.
“Susulan itu, Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Selasa dan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik pada Rabu memutuskan agar KBS memperincikan Protokol Am itu dengan penelitian terhadap beberapa aspek dengan mengambil kira input dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM),” menurut kenyataan itu.
KBS juga kata kenyataan itu, amat komited bagi memastikan pembukaan semula sektor sukan dan rekreasi dilakukan dengan teliti seiring dengan keperluan kesihatan awam.
Sebelum ini, Presiden Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan berharap agar kerajaan membenarkan penyokong ke stadium bagi saingan Piala Malaysia musim ini yang memasuki ulang tahun ke-100.