24 SEPT: Kenyataan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng bahawa syarat 51 peratus pemilikan bumiputera tidak berperlembagaan memberi bayangan bahawa DAP tidak mahu lihat ekuiti Bumiputera dipertingkatkan.
Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Negeri Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata sebagai sebuah negara yang terasnya Bumiputera, semua pihak wajib berusaha mempertingkatkan pemilikan ekuiti di kalangan Bumiputera.
Namun, beliau menegaskan DAP tidak pernah selesa dengan agenda ini walaupun ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan yang menjadi kebimbangan masyarakat khususnya Bumiputera.
“Laporan berita ini jelas menyebut bahawa apabila mereka mempunyai kuasa, Setiausaha Agung DAP yang memegang Kementerian Kewangan “menolak cadangan pelaksanaan syarat 51% pemilikan Bumiputera dalam syarikat penghantar fret ketika menjadi menteri kewangan dalam kerajaan PH.
“Inilah sikap DAP yang kita mesti lawan. Apabila tiba ke agenda Bumiputera, ada sahaja alasan yang diberikan.
“Sebab itulah sebarang usaha membawa DAP kembali ke Putrajaya dalam satu jajaran baharu hanya akan menyebabkan usaha pemerkasaan Bumiputera terhalang,” katanya.
Terdahulu, Guan Eng dilaporkan berkata, beliau menolak cadangan pelaksanaan syarat 51% pemilikan Bumiputera dalam syarikat penghantar fret ketika menjadi menteri kewangan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Ahli Parlimen Bagan itu memberitahu FMT bahawa cadangan pelaksanaan syarat terbabit dibangkitkan ketika beliau memegang jawatan berkenaan tetapi ia tidak diluluskannya.
Beliau berkata, jika mana-mana pemilik syarikat penghantar fret mengalami kerugian akibat pelaksanaan syarat 51 peratus pemilikan Bumiputera itu, kerajaan bertanggungjawab membayar pampasan kepada mereka.