24 SEPT : Polis akan memburu individu yang melanggar Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) berdasarkan data MySejahtera yang merekodkan 523 daftar masuk premis dan pasaraya membabitkan mereka yang positif COVID-19.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) COVID-19 (JKPS) memandang serius perkara itu dan mereka akan dikesan melalui data My Sejahtera.
“Polis juga akan menangkap serta merta berdasarkan alamat kediaman di dalam MySejahtera individu yang terlibat,” tegasnya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat JKPS hari ini.
Berkenaan mesyuarat JKPS, Hamzah berkata, turut dibincangkan ialah berhubung penambahbaikan strategi pelaksanaan penguatkuasaan pematuhan SOP COVID-19 sedia ada.
Katanya, menurut data diperolehi, sebanyak 18 peratus kes individu positif COVID-19 dikesan berlaku di pasaraya.