25 SEPT : Vaksin COVID-19 pertama buatan Malaysia dijangka dapat dikeluarkan dalam tempoh tiga tahun lagi.
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) sudah pun memulakan usaha tersebut dengan menggunakan teknologi ‘messenger ribonucleic acid’ (mRNA) yang dibangunkan dengan kerjasama tenaga pakar dalam dan luar negara.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata, selain membangunkan vaksin sendiri, MOSTI juga berkeupayaan untuk membangunkan Pusat Vaksin Kebangsaan (NVC).
“Namun kita harus memahami bahawa untuk mengeluarkan sesuatu vaksin memerlukan masa dan kita menggunakan pelbagai kaedah terkini bagi membangunkan vaksin COVID-19 ini.
“Kini usaha mengumpulkan data masih dilakukan dan pengeluaran vaksin menjadi keutamaan kita selepas tidak pernah menjangkakan wabak COVID-19 begitu pantas merebak sehingga menjadi pandemik.
“Ketika ini saintis kita sedang bekerja keras di Institut Kajian Perubatan (IMR) dan ia masih di peringkat pembinaan pengklonan genetik.
“Kita jangkakan vaksin ini dapat dihasilkan dalam tempoh antara tiga hingga lima tahun,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melawat Ruang Reka (Hab Reka Cipta, Teknologi dan Inovasi) di Taman Rasa Sayang, Paroi, hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh dan Pengerusi Komuniti Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhammed.
Media sebelum ini melaporkan, Dr Adham yang ketika itu menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan bahawa Malaysia sedang membangunkan vaksin sendiri yang pertama bagi melawan pandemik COVID-19, melalui kerjasama IMR dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Dr Adham berkata, pihaknya tidak hanya memberikan tumpuan kepada penghasilan vaksin COVID-19 semata-mata tetapi juga akan membangunkan vaksin lain.
“Kita tidak tahu apa jenis wabak yang datang pada masa hadapan dan adalah penting untuk kita buat persiapan dari segi fasiliti bagi mengeluarkan sendiri,” katanya.
Tambahnya, MOSTI sentiasa bekerjasama dengan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) iaitu badan yang menetapkan kriteria yang perlu ada bagi sesuatu pengeluaran vaksin.
“Kerjasama itu membantu kita untuk merancang keperluan yang ada bagi mengeluarkan sesuatu vaksin.
“Perlu ditegaskan bahawa usaha membangunkan vaksin juga selaras dengan keperluan dan kelulusan NPRA dan apa yang sedang kita lakukan adalah menggunakan teknologi termaju,” katanya.