25 SEPT: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini, menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kunjungan rasmi pertama beliau menghadap Sultan Johor, sekaligus membincangkan isu yang melibatkan Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).
Dalam perbincangan tersebut, Sultan Ibrahim bertitah supaya kerajaan segera menyemak semula syarat ketat MM2H yang diumumkan baru-baru ini.
Titah baginda lagi, Johor adalah antara destinasi utama pelaburan asing, selain negeri itu juga antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
“Johor bukan sahaja berjiran dengan Singapura, malah, Program MM2H adalah antara penyumbang kepada kekuatan ekonomi negeri.
“Kaji semula syarat ketat yang ditetapkan sebelum ini dan kekalkan juga syarat lama dengan membuat berapa penambahbaikan supaya ia dapat memberikan imbangan positif khususnya pertumbuhan ekonomi,” titahnya dalam satu hantar di laman Facebook rasmi baginda hari ini.
Pertemuan bersama Sultan Johor berlangsung di Istana Pasir Pelangi, di sini yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Dalam pertemuan itu Sultan Ibrahim juga turut membincangkan pelbagai perkara lain berkaitan kemajuan Johor dalam pertemuan bersama Perdana Menteri.
Sebelum ini, Hasni turut menyuarakan perkara yang sama memandangkan Johor akan terkesan disebabkan syarat ketat yang dikenakan kepada peserta Program MM2H tersebut.
Katanya, kerajaan negeri menyambut baik program tersebut dilakukan, namun, berharap ia dapat dikaji semula sebelum ia dilaksanakan.
“Kerajaan negeri berharap agar MM2H ini bukan hanya dikaji semula, tetapi, segera dilaksanakan. Dengan apa yang diumumkan, Johor amat terkesan dengan sekiranya pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan menyemak semula syarat ketat MM2H.
“Kita melihat perlunya syarat-syarat peserta MM2H ini dilonggarkan mengikut syarat-syarat lama program itu dan bukannya mengikut peraturan baharu yang ditetapkan,” katanya.