25 SEPT: Parti Perikatan Nasional (PN) tidak akan terkesan dan rugi jika UMNO terus berkeras enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) pada pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata beliau yakin PN tidak akan terkesan sekiranya ada pertembungan banyak penjuru.
Ini kerana menurutnya, gabungan berkenaan akan jalan terus bersama ‘founding partners’ dalam PN iaitu PAS, Gerakan, SAPP dan STAR.
“Apa yang penting sekarang ialah PN perlu teruskan agenda perpaduan politik Melayu Islam demi kemakmuran rakyat semua bangsa dan agama, dan selebihnya biar rakyat membuat penilaian.
“Fokus kita adalah PN, kuatkan PN untuk jaga rakyat, dan memulihkan negara.
“Semua komponen parti PN perlu membina jentera pilihan raya secara bersama dengan menjiwai semangat ukhuwah dan Keluarga Malaysia dalam perjuangan membela rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Berikutan itu, Wan Saiful menggesa supaya semua parti komponen PN supaya jangan berpecah dan dapat bersama-sama membina kekuatan parti dan gabungan parti berkenaan demi rakyat.
“Kita mesti bergerak bersama dan aturkan aktiviti secara bersama di seluruh negara. Supaya rakyat nampak bahawa kita benar-benar ikhlas menjaga perpaduan dan kestabilan dalam negara.
“PN telah meletakkan standard yang tinggi kepada negara. Kita bertegas kepada isu ketelusan, integriti, menolak salahlaku dan menolak penyelewengan,” katanya.
Terdahulu, Wan Saiful berkata Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin, telah memberikan pandangan terhadap beberapa perkara penting.
“Kerjasama gabungan parti dalam PN akan terus diperkukuhkan di peringkat nasional, negeri, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam PN, kita teruskan komitmen memulihkan negara daripada Covid dan cabaran ekonomi.
“Pengerusi PN juga menyatakan dalam menuju PRU15, PN tidak akan terganggu dengan sebarang kemungkinan pertembungan pelbagai penjuru.
“Dalam sidang media itu juga Pengerusi PN ditanya mengenai halatuju kerjasama antara PN dan UMNO. Masih tidak jelas samada UMNO akan bersama PN dalam PRU15 akan datang,” katanya.