26 SEPT: Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mengumumkan dua lagi lokaliti di Pahang bakal dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai Selasa ini.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad, berkata dua lokaliti di Pahang yang dikenakan PKPD ialah Kampung Orang Asli Sungai Mai, Jerantut dan Kampung Inoi, Rompin.
“Penguatkuasaan PKPD berkenaan dibuat selepas MKN meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19, di semua kawasan terbabit.
“Prosedur operasi standard (SOP) bagi semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Dalam pada itu, Rodzi berkata MKN juga bersetuju untuk menamatkan pelaksanaan PKPD di beberapa lokaliti di Pahang membabitkan kawasan Rancangan Rumah Murah (RMM), Kampung Kolek, Sungai Lembing, Kuantan, berkuatkuasa mulai esok.
Difahamkan, penamatan PKPD dibuat selepas laporan KKM mendapati tiada lagi kes positif baharu dilaporkan berlaku di kawasan terbabit, sejak beberapa hari lalu.