26 SEPT: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menggesa masyarakat dunia bekerjasama sebagai satu keluarga besar bagi mendepani cabaran ketidakadilan, ketidakstabilan politik dan tadbir urus global.
Ismail Sabri berkata, antara isu yang perlu diatasi ‘keluarga dunia’ (world family) secara bersama adalah menghadapi kekerapan ancaman kesihatan global, termasuk COVID-19.
Beliau berkata ini terbukti berdasarkan situasi semasa apabila dunia masih jauh untuk menang dalam perang melawan pandemik, meskipun komuniti antarabangsa berikrar untuk bersatu melawan COVID-19, memberikan vaksin secara agresif dan berkongsi amalan terbaik, tahun lalu.
“Rasa lega apabila vaksin dibangunkan dalam tempoh antara terpantas pernah direkodkan, namun disusuli dengan dukacita apabila berlaku diskriminasi dalam pengagihannya.
“Ketika kebanyakan negara pengeluar vaksin dan negara kaya mencapai tahap kejayaan tertentu, majoriti populasi dunia yang kebanyakannya dari negara berpendapatan menengah dan negara kurang membangun, masih belum divaksin,” katanya dalam ucapannya secara maya di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-76, malam tadi.
Ia adalah ucapan pertama Ismail Sabri dalam UNGA Ke-76 selepas dilantik Perdana Menteri pada 20 Ogos lalu.
Perdana Menteri juga mengusulkan masyarakat dunia, sebagai sebuah keluarga, terbabit dalam diplomasi kesihatan yang lebih berkesan dan lebih kerap bagi berdepan ancaman kesihatan global.
Ismail Sabri menegaskan, diplomasi kesihatan itu antara lain bermatlamat memperluas kapasiti kesihatan awam pelbagai negara, khususnya dengan memperluas akses kepada teknologi dan maklumat yang relevan.
“Justeru Malaysia akan memainkan peranan lebih penting dan terbabit secara lebih aktif dalam diplomasi kesihatan, dengan pendekatan yang lebih menjurus ke arah pelbagai bidang serta membabitkan lebih banyak pemegang taruh berkaitan.
“Bagi COVID-19, kita tidak boleh lagi menunggu sehingga varian lebih berbahaya dan membunuh muncul serta meragut lebih banyak nyawa. Kita perlu bertindak segera,” katanya.
Berhubung usaha mencapai Agenda Pembangunan Mapan (SDG) 2030 Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ismail Sabri mengakui COVID-19 menjejaskan beberapa kemajuan dicapai sebelum ini.
Seperti kebanyakan negara dunia, katanya, ekonomi Malaysia turut terkesan dengan pandemik itu apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup 5.6 peratus tahun lalu, iaitu yang terburuk dalam tempoh lebih 20 tahun sejak Krisis Kewangan Asia.
Bagaimanapun, kata Perdana Menteri, strategi Malaysia berdepan COVID-19 menerusi pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat, menunjukkan impak positif dalam mengawal wabak itu dan mengimbangi antara nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia, selain memastikan negara kekal dalam landasan mencapai matlamat SDG 2030.
Jelasnya, Malaysia antara lain mengembangkan sistem penjagaan kesihatan, melaksanakan suntikan fiskal melalui pakej rangsangan ekonomi bernilai kira-kira AS$130 bilion (RM544 bilion) atau 36 peratus daripada KDNK, membantu golongan miskin dan berisiko serta kumpulan peniaga.
Selain itu, katanya, Malaysia turut mewujudkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebagai strategi keluar daripada pandemik, yang antara lain melonjakkan kapasiti vaksinasi harian negara kepada lebih 500,000 dos sehari.
“Kami berbangga apabila perkara ini serta usaha mencapai SDG 2030 mendapat penghargaan ketika Penilaian Nasional Sukarela pada Julai lalu,” katanya