26 SEPT: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengenai kes kehilangan barang kes berupa wang tunai AS$6 juta (RM25 juta) memasuki fasa baharu apabila pihak berkuasa merampas pelbagai kereta mewah dan wang tunai RM50,000 dalam beberapa serbuan di ibu negara.
Menurut sumber kereta mewah berkenaan dirampas SPRM di sebuah hotel mewah di ibu negara.
Berikutan itu SPRM ketika ini giat melakukan dokumentasi untuk mengesan asal-usul semua kenderaan terbabit.
“Bagaimanapun, SPRM masih menyiasat sumber sebenar wang tunai RM50,000, sama ada ia adalah sebahagian daripada rampasan bukti milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Negara (MEIO), Datuk Hasahah Abdul Hamid.
“Wang tunai dan kereta-kereta mewah yang tidak didedahkan jenis itu dipercayai milik seorang penguasa kanan SPRM, salah seorang daripada tiga pegawai yang ditahan terbabit,” katanya sumber kepada Utusan Malaysia.
Dua lagi yang ditahan ialah pegawai SPRM berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan, masing-masing dalam jawatan Gred 34 hingga 44.
Sumber memberitahu, pegawai SPRM berpangkat penguasa kanan terbabit tinggal di kediaman mewah selain turut memiliki beberapa buah motosikal berkuasa tinggi.
“Semua pemilikan harta pegawai berpangkat penguasa kanan sedang disemak. SPRM juga sedang menyemak rekod pemilikan wang dan aset dua lagi pegawai yang ditahan terbabit,” ujar sumber berkenaan.
Sumber itu menjelaskan, kes-kes pemilikan harta ‘luar biasa’ pegawai dan warga berpangkat rendah SPRM sering diterima, namun kes kehilangan barang bukti bukan perkara yang selalu berlaku dalam Suruhanjaya tersebut.
SPRM juga giat menyiasat mengenai kehilangan duit RM25 juta mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah dan Akta Pengubahan Wang Haram selepas menerima aduan daripada pemiliknya.
“Siasatan dan proses dilakukan terhadap tiga pegawai terbabit adalah mengikut prosedur operasi standard,” ujar sumber itu.
Difahamkan, ketiga-tiga pegawai terbabit akan dihadapkan di mahkamah dalam masa terdekat