26 SEPT: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis, mengesahkan seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun dipercayai lemas selepas terjatuh ke dalam longkang di Jalan Bunga Tanjung 4, Kampung Baru Hicom, di Shah Alam, Selangor hari ini.
Norazam berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu daripada pihak polis sekitar 6.18 petang sebelum tiba ke lokasi kejadian kira-kira 12 minit kemudian.
“Pencarian sedang giat dijalankan oleh pihak bomba. Kita khuatiri kanak-kanak itu hanyut dibawa arus deras dipercayai menuju ke arah Sri Muda akibat terjatuh ke dalam longkang 4×5 kaki itu (1.2 meter x 1.5 meter) ” katanya.
Dalam perkembangan lain, Norazam berkata sebuah kenderaan terkandas dalam banjir setinggi 1.22 meter di sekitar kawasan Stadium Shah Alam Seksyen 13.
Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 5.07 petang.
Berikutan itu sembilan anggota berlainan pangkat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam tiba di lokasi kejadian pada jam 5.17 petang.
“Pihak bomba mendapati kawasan sekitar stadium tersebut dinaiki air setinggi 1.22 meter di beberapa kawasan dan menyebabkan sebuah kenderaan terkandas. Bagaimanapun pemandu kereta itu berjaya menyelamatkan diri,’’ katanya.