Pemimpin kena ketepi kehendak peribadi demi perpaduan ummah
26 SEPT: Semua pemimpin parti mewakili orang Melayu/Islam perlu mengetepikan soal kehendak peribadi demi kepentingan negara dan perpaduan ummah yang lebih besar.
Justeru, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata semua pemimpin Melayu/Islam perlu mengetepikan petelagahan politik yang tidak berkesudahan dan sudah sampai masanya umat Islam di negara ini bersatu.
“Soalnya orang politik ni dia jaga kerusi aje…jadi yang ada jangan kedekut tapi yang minta jangan tamak, ada masa kehendak diri kita kena korbankan demi kepentingan besar.
“Dalam politik pun kita dituntut membuat pengorbanan. Bukan semua pimpinan politik perlu bertanding,” katanya kepada pemberita sempena Majlis Perasmian Sambutan Hari Sungai Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021, di Sungai Rembau, Negeri Sembilan hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata PAS tidak boleh diminta untuk membuat pilihan sama ada bersama Perikatan Nasional (PN) ataupun bersama UMNO dalam Muafakat Nasional bagi menghadapi PRU-15.
Justeru, Tuan Ibrahim berkata semua pihak perlu melihat perkara berkenaan dalam kerangka yang besar kerana boleh merugikan semua pihak.
“Mungkin dalam sesetengah negeri muafakat PAS dan UMNO cukup, tapi sesetengah negeri yang lain dia ada risiko kalau tiga penjuru,” katanya.
Beliau berkata, umat Islam di negara ini juga dilihatnya semakin seronok dengan penyatuan ketiga-tiga parti iaitu UMNO, PAS dan BERSATU yang kini menerajui kerajaan Persekutuan.
“Ini termasuklah dengan rakan parti komponen di Sabah dan Sarawak. Saya fikir rakyat melihat ini antara hala tuju betul pada masa hadapan dalam Pilihan Raya Umum ke-15,” katanya.