26 SEPT: Pertembungan tiga penjuru atau lebih antara UMNO, Perikatan Nasional (PN) dan pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin akan memberikan peluang dan ruang kepada Pakatan Harapan (PH) diketuai DAP akan kembali berkuasa dan ‘merajai’ Putrajaya sekali lagi.
Penganalisis politik, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, berpandangan pertembungan sesama sendiri antara UMNO dan PN terdiri PAS dan BERSATU adalah satu tragedi kepada pengundi dan politik Melayu kerana mereka mungkin kalah kepada calon PH.
Zainal berkata ini kerana UMNO dan PN secara dasarnya bergantung kepada undi orang Melayu/Islam yang kini sudah berpecah kepada beberapa parti politik, sekali gus menjadikan mereka sebagai parti kecil dan mempunyai sokongan minoriti pengundi.
“Jika pertembungan banyak penjuru antara UMNO, PN dan pembangkang berlaku, maka kita seolah-olah membantu PH diketuai oleh DAP dan PKR untuk kembali berkuasa dan menjadi parti pemerintah Malaysia sekali lagi.
“Jika perkara itu tidak berlaku dan PH ditunjangi DAP dan PKR kembali berkuasa, maka akan berlaku banyak perubahan dasar yang akan merugikan orang Melayu/Islam, meruntuhkan pencapaian dan membantutkan pertumbuhan ekonomi orang Melayu.
“Inilah visi dan misi yang patut dipegang oleh parti politik yang memperjuangkan kepentingan orang Melayu/Islam seterusnya menetap pembahagian kerusi berasaskan sokongan majoriti masing-masing dan dapat mengadakan perikatan dan pemuafakatan.
“Jika parti mewakili orang Melayu berpecah maka tidak mustahil PH ditunjangi DAP kembali berkuasa dan menjadi kerajaan kerana orang Cina tidak akan menyokong calon Melayu dan hanya memberikan sokongan kepada pemimpin mewakili kaum mereka.
“Manakala, PKR pula mempunyai kuasa dan boleh memecahbelahkan undi Melayu sekali gus memberi kelebihan kepada pemimpin DAP yang mendapat sokongan majoriti pengundi Cina akan memperoleh kemenangan dalam PRU-15 nanti,” katanya ketika dihubungi wartawan PNBBC, hari ini.
Mengulas lanjut, Zainal berkata sepatutnya tiga parti yang mewakili dan menjaga pengundi Melayu/Islam iaitu UMNO, BERSATU dan PAS perlu mula berfikir, mencari jalan dan titik persamaan melalui Muafakat Nasional (MN) dan sebagainya bagi memastikan orang Melayu/Islam kekal berkuasa dan menjadi parti pemerintah negara selepas PRU-15 nanti.
Beliau berkata semua parti Melayu/Islam perlu banyak bertolak ansur dan mengalah antara satu sama lain berdasarkan kajian calon dari parti mana mendapat sokongan majoriti terbesar pengundi di sesuatu kawasan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Katanya, mereka perlu memastikan pentadbiran negara mestilah dikuasai oleh parti politik berteraskan kepentingan orang Melayu/Islam selepas PRU-15.
“Saya berpandangan bahawa corak sokongan pengundi sekarang tidak lagi bergantung kepada parti kerana UMNO, BERSATU dan PAS pada dasarnya mempunyai matlamat yang hampir sama iaitu memelihara kepentingan, menjaga hak, ekonomi, politik orang Melayu dan memelihara kesucian agama Islam.
“Pengundi sebenarnya mahu melihat siapakah yang akan menjadi calon di sesuatu kawasan Parlimen atau DUN berkenaan sama ada beliau calon muka baharu ke lama, boleh bekerja untuk rakyat atau tidak, sudah terbukti banyak berjasa kepada penduduk setempat dan sebagainya.
“Saya percaya jika semua parti Melayu/Islam dapat bermuafakat dan bekerjasama rapat antara satu sama lain serta mengagihkan kerusi berdasarkan kajian kehendak sesuatu daerah mengundi maka mereka mampu meraih kemenangan besar pada PRU-15 nanti,” katanya.
Zainal berkata jika UMNO terus berkeras untuk bertanding bersendirian melawan gabungan PN terdiri PAS dan BERSATU serta PH maka mereka belum tentu akan meraih kemenangan pada PRU-15 nanti.
Beliau berkata UMNO tidak boleh sombong walaupun mereka adalah parti terbesar dan sudah lama bertapak di bumi Malaysia namun ia bukan jaminan mereka akan meraih sokongan majoriti orang Melayu untuk kembali berkuasa dan meraih kemenangan besar nanti.
“Ini kerana UMNO sekarang sarat dengan pelbagai masalah dan perpecahan dalaman selain ramai pengundi menjauhkan diri daripada parti siasah berkenaan yang kini sarat dengan cerita kes rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan dana milik kerajaan.
“Biarpun ada berpandangan tokoh UMNO yang terbabit dengan kes rasuah atau kluster mahkamah berkenaan dikatakan masih popular namun mereka patut berfikir banyak kali.
“Malah, pengundi sekarang lebih suka melihat tokoh atau calon yang bertanding berbanding parti yang mereka wakili. Justeru saya melihat ramai tokoh yang berpindah dari UMNO ke BERSATU mungkin akan kembali menang di kerusi masing-masing pada PRU-15 nanti.
“Biarpun mereka sudah berusia dan bertukar parti politik namun mereka masih popular dan akan menjadi pilihan rakyat pada PRU-15 kerana banyak berjaya dan berbakti kepada masyarakat setempat.