26 SEPT: Kerajaan dijangka mengumumkan terma dan syarat dalam penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat isu berbangkit mengenai pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji (TH) dalam masa terdekat.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary, berkata siasatan yang akan dibuat nanti juga merangkumi tempoh antara 2014 hingga 2020 seperti yang diputuskan sebelum ini.
Ahmad Marzuk berkata kerajaan juga sudah mengenal pasti tokoh dan individu bakal menganggotai RCI berkenaan.
“Kabinet juga akan putuskan juga soal terma dan syarat itu. Semua transaksi dan apa sahaja bentuk urusan TH yang perlu kepada penyiasatan kerana berbangkit sama ada melalui sidang Parlimen atau penulisan yang meragukan sehingga membuat rakyat cemas akan dirungkaikan melalui penubuhan RCI ini.
Penubuhan RCI mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119) diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Julai lalu dan diumumkan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Kenyataan itu juga berkata bahawa penubuhan RCI adalah wajar bagi membolehkan siasatan lanjut dapat dibuat terhadap perkara berbangkit dan perakuan sewajarnya dapat dikemukakan kepada kerajaan bagi memulihkan imej serta keyakinan rakyat terhadap kewibawaan TH.
Terdahulu Ahmad Marzuk menyempurnakan majlis serahan Sumbangan Qaseh Inspirasi Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di perumahan nelayan Tok Bali, hari ini.
Seramai 300 penerima daripada nelayan sekitar menerima sumbangan daging lembu segar sumbangan YaPEIM menerusi program bank makanan sebegitu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Marzuk berkata, di bawah Program YaPEIM Prihatin, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM11 juta sebagai bantuan kepada mereka yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
“Sebelum ini, kerajaan meluluskan RM5 juta namun apabila melihat kepada pandemik ini yang masih lagi besar dan perlu kepada tambahan peruntukan, jumlah itu ditambah sebanyak RM6 juta lagi.
“Kita akan bergerak ke seluruh negara dan program ini adalah sebahagian daripada pelengkap kepada bantuan lain dan ia juga bukti tanda sayang dan kasih kepada keluarga Malaysia khususnya golongan B40,” katanya.