26 SEPT: Semua pemimpin parti politik mewakili orang Melayu dan umat Islam di Malaysia terutama UMNO, PAS dan BERSATU wajar kembali ke meja rundingan jika mahu terus berkuasa selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.
Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Aminuddin Yahaya, berkata tindakan itu perlu bagi menggelak berlaku pertembungan tiga penjuru atau lebih antara parti mewakili orang Melayu/Islam terutama UMNO, PAS dan BERSATU, pada PRU-15 akan datang.
“Jika pertembungan tiga penjuru atau lebih berlaku pada PRU-15 nanti bangsa Melayu dan umat Islamlah yang akan mengalami kerugian besar dan mereka akan membantu Pakatan Harapan (PH) dan DAP kembali berkuasa serta menerajui Kerajaan Persekutuan semula.
“Sekiranya PH kembali berkuasa saya percaya mereka akan melakukan pelbagai perkara yang akan merugikan orang Melayu dan Islam sekali gus menyebabkan kita hilang banyak keistimewaan dan hak seperti dilakukan mereka selepas BN/UMNO tewas dalam PRU-14, sebelum ini.
“Jadi PEMBELA berharap semua pemimpin UMNO, PAS dan BERSATU dapat kembali ke meja rundingan untuk membincangkan soal pembahagian kerusi bagi mengelak pertembungan tiga penjuru sesama sendiri sekali gus memastikan hanya berlaku pertandingan dua penjuru pada PRU-15 nanti.
“Kalau boleh PEMBELA berharap supaya UMNO, PAS dan BERSATU tidak mengulangi kesilapan berlaku pada PRU-14 yang menyebabkan kuasa politik dan ekonomi orang Melayu/Islam semakin berkurangan akibat perpecahan dan pertembungan sesama sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan bahawa pertembungan tiga penjuru atau lebih antara UMNO, PN dan pembangkang pada PRU mungkin akan memberikan peluang dan ruang kepada PH diketuai DAP akan kembali berkuasa dan ‘merajai’ Putrajaya sekali lagi.
Terdahulu, Penganalisis politik, Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, berpandangan pertembungan sesama sendiri antara UMNO dan PN terdiri PAS dan BERSATU adalah satu tragedi kepada pengundi dan politik Melayu kerana mereka mungkin kalah kepada calon PH.
Zainal berkata ini kerana UMNO dan PN secara dasarnya bergantung kepada undi orang Melayu/Islam yang kini sudah berpecah kepada beberapa parti politik, sekali gus menjadikan mereka sebagai parti kecil dan mempunyai sokongan minoriti pengundi.