27 SEPT: Kerajaan akan memperuntukan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan untuk merapatkan jurang pembangunan ekonomi antara negeri, antara wilayah serta antara bandar dan luar bandar menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) nanti.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan juga akan berusaha untuk melonjakkan pertumbuhan negeri kurang membangun, terutama Sabah dan Sarawak.
Usaha berkenaan katanya bermatlamat untuk mempercepatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang perlahan di negeri Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu serta mengurangkan kadar kemiskinan, terutama di Sabah, Kelantan dan Sarawak.
“Bagi tujuan ini, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keseluruhan peruntukan Pembangunan Asas Persekutuan akan diagihkan kepada negeri-negeri tersebut.
“Peruntukan ini ditumpukan kepada penyediaan infrastruktur asas, pendigitalan, pendidikan, perkhidmatan penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi.
“Saya sendiri akan memantau pelaksanaannya secara dekat,” katanya ketika membentangkan RMKe-12 di Parlimen sebentar tadi.