27 SEPT: Tujuh lokaliti di Pahang dan Perak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu bermula Rabu ini.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md Saad berkata, empat lokaliti PKPD di Tanjung Rambutan, Kinta ialah Kampung Bakok; Kampung Jambu; Kampung Lalang dan Kampung Dollah.
Beliau berkata, lokaliti di Pahang yang dikenakan PKPD ialah FELDA Rentam; FELDA Tementi dan FELDA Sebertak di Bera.
“Selepas meneliti pembentangan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko, MKN memutuskan untuk mengenakan PKPD di semua lokaliti berkenaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Rodzi berkata, MKN memutuskan untuk menamatkan PKPD di Kampung Orang Asli Sungai Gangai, Mukim Slim, Perak; Kampung Tamalian, Raub dan Kampung Paya Pelong, Temerloh.
“Selain itu, turut ditamatkan ialah Kampung Warisan di Kota Kinabalu; Rumah Pangsa Tanjung Aru; Kampung Rugading, Kota Marudu; Kilang Fu Yee di Kalabakan,” katanya.