27 SEPT : Kerajaan menerusi inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) telah melancarkan beberapa inisiatif bagi membantu sektor pelancongan yang merupakan antara segmen yang sangat terjejas dalam tempoh pandemik COVID-19 ini.
Salah satu inisiatif berkenaan adalah bantuan kewangan berjumlah RM3,000 kepada Syarikat Pengendalian Pelancongan yang berlesen di bawah MOTAC sebagai pendorong atau kick-start kepada Syarikat Pengendalian Pelancongan yang terkesan dengan pandemik COVID-19.
Bantuan kewangan ini adalah merupakan bantuan kali kedua kepada Syarikat Pengendalian Pelancongan di mana Kementerian melalui Inisiatif Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) telah memberikan bantuan kewangan RM3,000 kepada syarikat yang layak.
Syarikat perniagaan pengendalian pelancongan dan perniagaan agensi pengembaraan yang telah menerima bantuan kewangan RM3,000 di bawah inisiatif PEMERKASA adalah layak secara automatik bagi bantuan PEMULIH dan tidak perlu membuat permohonan.
Sehubungan itu, Kementerian menyeru Syarikat pengendali pelancongan berlesen di bawah MOTAC yang tidak pernah menerima bantuan kewangan di bawah inisiatif PEMERKASA untuk mengambil peluang ini untuk mengemukakan permohonan kepada pihak Kementerian.
Untuk maklumat lanjut mengenai Syarat Kelayakan PEMULIH bagi Syarikat Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan yang berlesen di bawah MOTAC, sila layari laman sesawang rasmi MOTAC di http://motac.gov.my/pemulihmotac2021 atau menghubungi Pejabat MOTAC Negeri yang berdekatan.
Tarikh tutup permohonan adalah pada 15 Oktober 2021 dan sebarang permohonan yang dikemukakan selepas tarikh tersebut tidak akan dipertimbangkan.