27 SEPT : Ahli Parlimen Palestin, Khalida Jarrar, dibebaskan dari penjara semalam selepas dua tahun berada dalam tahanan pihak berkuasa Israel.
Khalida, 58, dihukum penjara pada Mac lalu kerana menganggotai Pembebasan Palestin (PFLP) yang dilabelkan oleh Israel serta Amerika Syarikat (AS) sebagai sebuah organisasi ‘pengganas’.
Bagaimanapun, tentera Israel gagal menemui sebarang bukti Ahli Parlimem tersebut terlibat dalam tindakan keganasan.
Beliau ditahan tanpa pertuduhan sejak 2019 selepas ditangkap bersama beberapa individu Palestin yang lain berikutan satu insiden serangan yang mengorbankan seorang remaja Israel, di mana pihak berkuasa Israel menyalahkan PFLP atas serangan itu.
Arahan penahanan pentadbiran Israel membenarkan suspek ditahan tanpa pertuduhan selama enam bulan dengan tempoh itu boleh diperbaharui.
Israel mendakwa prosedur itu bertujuan membolehkan pihak berkuasa menahan suspek ketika mereka terus mencari bukti, bagi mencegah jenayah.
Bagaimanapun, sistem itu dikritik rakyat Palestin, kumpulan hak asasi manusia dan anggota komuniti antarabangsa yang berpandangan ia disalahgunakan oleh Israel.