27 SEPT: Kerajaan perlu lebih agresif melaksanakan agenda pemerkasaan Bumiputera bagi merapatkan jurang sosioekonomi antara kaum.
Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman, berkata hal ini kerana jurang sosioekonomi sekarang ini mewujudkan landskap ketidakseimbangan yang lebih meluas.
Muhammad Daaniyall berkata agenda Bumiputera perlu diperhalusi bukan saja mencakupi masalah antara etnik, malah di peringkat wilayah mahupun negeri.
“Agenda Bumiputera ini perlu diperhalusi pada peringkat negeri dan lokaliti supaya intervensi untuk meningkatkan keupayaan Bumiputera boleh dibuat mengikut skop serta keperluan lebih mikro.
“Contohnya, cadangan untuk mewujudkan kembali Bahagian Kemakmuran Bumiputera di setiap kementerian dan agensi kerajaan adalah baik, tetapi perlu lebih holistik dengan pembabitan kerajaan negeri dan pentadbiran wilayah. Ini bagi memastikan pemantauan dapat dibuat lebih kerap dan cekap,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Muhammad Daaniyall berkata, secara umumnya, beliau melihat terdapat tiga strategi utama dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) berkaitan agenda memperkasa agenda Bumiputera merangkumi aspek peningkatan modal insan, pemberdayaan perniagaan dan pegangan ekuiti Bumiputera.
Beliau berkata secara asasnya, strategi digariskan itu bukan sesuatu yang baharu dalam perancangan jangka sederhana seperti ini.
“Ia wajar terus diperkasakan bagi mengelak keciciran status ekonomi antara kaum daripada terus berlaku. Selain itu, usaha meningkatkan daya tahan dan perniagaan Bumiputera amat wajar dilakukan dalam konteks ekonomi dilanda krisis ketika ini.
“Ini peluang untuk melaksanakan reformasi ekonomi Bumiputera dan melonjakkan agenda Bumiputera bagi mencapai kesaksamaan,” katanya.
Sementara itu, penganalisis ekonomi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Business School, Prof Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata pencapaian Bumiputera dalam kekayaan negara masih belum mencapai tahap disasarkan akibat perubahan iklim ekonomi sekitar, ditambah pandemik COVID-19 yang turut memberi kesan berpanjangan.
Katanya, ini membuatkan agenda Bumiputera terus menjadi antara objektif utama ditekankan kerajaan sejak Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilancarkan beberapa dekad lalu.
“Ia menurunkan lagi median pendapatan golongan Bumiputera berbanding kaum lain dan selari dengan kemelesetan ekonomi yang melanda.
“Pemantapan agenda Bumiputera dengan pelbagai usaha akan diteruskan kerajaan melalui agensi utama iaitu MARA dan dibantu pelbagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).
“Namun kerajaan tidak melupakan golongan Bumiputera yang menetap di bandar terutama golongan B40 dengan mengadakan pelbagai program untuk merapatkan jurang pendapatan isi rumah pada 2025 iaitu sehingga RM10,000 sebulan,” katanya.