27 SEPT: Kerajaan menyasarkan Malaysia akan menjadi negara neutral karbon seawal 2050.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagi menyokong usaha ini, instrumen ekonomi seperti carbon pricing (harga karbon) dan cukai karbon akan diperkenalkan.
“Perincian langkah lain bagi pengurangan karbon akan diumumkan selepas kajian strategi pembangunan jangka panjang rendah karbon dimuktamadkan pada akhir tahun 2022.
“Bagi tujuan ini, kerajaan telah memberi komitmen untuk tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail Sabri turut berkata, selari dengan komitmen itu, pertubuhan masyarakat sivil atau CSO akan diinstitusikan dalam pelbagai mekanisme tadbir urus terutama dalam pelaksanaan dan pemantauan program pembangunan pada peringkat akar umbi bagi mencapai Agenda 2030.
Selain itu, katanya, kerajaan memberi jaminan, tidak lagi membina loji janakuasa arang batu yang baharu.
“Saya sedar ini memerlukan usaha yang bersepadu serta komitmen dan pelaburan hijau yang tinggi. Namun, saya yakin dengan pembabitan Keluarga Malaysia, aspirasi ini bukanlah angan-angan kosong, komitmen ini akan memastikan Malaysia seiring dengan usaha negara lain untuk mencapai matlamat global dalam menangani perubahan iklim dan meningkatkan daya saing negara,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan akan memperkenalkan Dasar Tenaga Negara yang komprehensif untuk menyediakan hala tuju strategik jangka panjang bagi menyokong aspirasi negara neutral karbon.
Justeru itu, kata Perdana Menteri, akta berkaitan kecekapan dan konservasi tenaga akan diperkenalkan bagi mengawal selia penggunaan tenaga oleh pengguna berintensiti tinggi dalam sektor industri dan komersial.
“Penjanaan elektrik yang lebih bersih akan dilaksana melalui pengoperasian beberapa loji janakuasa gas di Semenanjung Malaysia bagi menggantikan loji janakuasa arang batu.
“Penjanaan tenaga boleh baharu daripada solar, biojisim dan biogas disasarkan meningkat kepada 31 peratus daripada jumlah kapasiti terpasang pada tahun 2025,” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Ismail Sabri berkata, model ekonomi kitaran akan turut dilaksanakan di bawah RMKe-12 bagi mengurangkan pencemaran, penjanaan sisa dan kebergantungan kepada sumber asli.
“Konsep tanggungjawab pengeluar akan dipergiat bagi meningkatkan pelaksanaan penggunaan dan pengeluaran mampan.
“Di samping itu, pelaburan hijau akan terus digalakkan, termasuk untuk projek di bawah pendekatan kerjasama awam dan swasta serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya.