27 SEPT: Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) dianggap induk utama kepada Malaysia untuk bangkit dan melonjakkan semula ekonomi dari kemelut pandemik COVID-19.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Razali Idris, berkata penggerak utama dalam mencetuskan kepelbagaian idea, syor, inovasi dan penyelesaian sebenarnya diterjemahkan awal oleh mantan Perdana Menteri ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu kerajaan Perikatan Nasional (PN) lalu bagi pembentangan RMKe-12.
Justeru, Pelan RMKe-12 bagi tempoh lima tahun ini adalah hala tuju strategik bagi jalan keluar dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) sebenarnya.
“Ini sangat penting bagi rakyat menikmati dan manfaat semula kemakmuran, inklusif dan mampan di bawah konsep Keluarga Malaysia.
“Kerajaan perlu berani berbelanja demi rakyat bagi melahirkan harapan berganda untuk keluar dari krisis kesihatan dan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataannya hari ini.
Razali berkata beliau penuh yakin sembilan fokus utama yang digariskan berupaya memulihkan ekonomi negara sehingga Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kembali berkembang sebanyak 16.1 peratus pada suku ketiga atau keempat tahun ini.
“Malahan perkembangan ekonomi perlu seiring dengan keperluan teknologi semasa.
“Jurang digital antara bandar dan luar bandar dengan menaikkan taraf seperti Pusat Internet Desa serta Pusat Komuniti Desa sebagai langkah yang sangat wajar.
“Moga negara kita dilengkapi benteng ekonomi yang kukuh serta kedudukan kewangan akan bertambah baik,” katanya.