27 SEPT: Bagi merancakkan kembali industri pelancongan, Thailand mengecualikan kuarantin wajib dua minggu kepada pelancong yang lengkap vaksin COVID-19 bermula 1 November depan.
Pengecualian merangkumi destinasi pelancongan seperti Krabi, Chiang Mai, Koh Phangnga, Pattaya, Bang Lamung, Jomtien dan Bang Sare di Chonburi, Hua Hin (Prachuap Khiri Khan) dan Koh Phayam (Ranong).
Pada 1 Oktober ini, Thailand akan mengurangkan tempoh kuarantin 14 hari kepada tujuh hari untuk pelawat lengkap vaksinasi, manakala pelancong belum divaksin yang tiba masing-masing melalui pengangkutan udara dan darat akan dikenakan 10 hari dan 14 kuarantin.
Perdana Menteri, Prayuth Chan o-cha yang mempengerusikan mesyuarat Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) hari ini meluluskan langkah-langkah tersebut.
Pada sidang media, jurucakap CCSA, Dr Taweesin Visanuyothin berkata, berkuat kuasa 1 Oktober, Bangkok dan 28 wilayah di kawasan ‘zon merah gelap’ akan menyaksikan pembukaan semula lebih banyak perniagaan dan perkhidmatan.
“Ia termasuk pawagam, spa, perpustakaan, salun kecantikan dan klinik, ruang tatu, salun kuku dan tempat sukan.
“Perintah berkurung waktu malam akan dikurangkan sejam iaitu dari 10 malam hingga 4 pagi,” katanya.
Taweesin berkata, perintah darurat akan dilanjutkan hingga 30 November dan sedang menunggu kelulusan kabinet.